
DILAHIRKAN dan dibesarkan di Kampung Kalanggaan Bosusung, Kuala Penyu, Sr Maria Thomas, fsic terpanggil untuk menjadi religius sejak di bangku sekolah lagi.
Anak ketujuh dari lapan orang beradik, Sr Maria merupakan anak kepada pasangan Thomas Pusing Engah dan Winnie Ninih Ajau.
Berikut merupakan perkongsian panggilan beliau:
Tanda panggilan tidak akan dapat dikenali jika saya tidak mencarinya. Maka dengan berani saya mengenali panggilan itu dengan memasuki rumah pembentukan postulan dan Novitiate.
Ketika berada di rumah pembentukan, saya mulai mengenal Tuhan dan sedar, betapa pentingnya pengetahuan serta ilmu tentang agama. Akhirnya saya memilih untuk menyertai kongregasi FSIC.
Dengan berkat dan seturut kehendak Tuhan saya dedikasikan pelayanan saya dalam Apostolate Pendidikan di samping pelayanan pastoral bersama belia, LOM, pelayan altar dan kateketikal.
Hidup membiara bukanlah hidup yang menakutkan. Ia merupakan hidup selibat, pilihan hidup saya sendiri tanpa paksaan demi mengikuti Kristus secara total dan menyeluruh, serta menghidupi nilai-nilai Injil dalam kehidupan seharian saya.
Suka duka dalam kehidupan adalah normal dan cara menghadapinya ialah dengan penyerahan total kepada Tuhan, keterbukaan dan kesediaan untuk merelakan hal-hal yang menyakitkan demi pelayanan.
Semua ini indah dan menghibur saya kerana Yesus sendiri hadir dan memenuhi segala yang saya perlukan untuk meneruskan perjalanan panggilan ini.
Sr Maria memasuki konven FSIC pada tahun 1996, mengucapkan kaul pertama pada tahun 1999 dan kaul kekal pada tahun 2000
Sr Maria mempunyai Izajah dalam Pentadbiran Pendidikan, Diploma Early Childhood Education serta Sijil Teologi.
Beliau mencurahkan kini pentadbir bagi Tadika Our Lady Consolata Nabawan sejak Tadika itu dibina pada tahun 2017.
Sebelum menyahut panggilan seorang religius, Sr Maria pernah bekerja sebagai guru ganti dan customer service.
Pada 9 Nov, tahun lalu, Sr Maria Thomas telah menyambut ulang tahun ke-25 sebagai religius.
“Seperti Maria, Bonda Yesus dan Bonda Gereja dan seperti para wanita kudus dalam Kitab Suci, pembawa Khabar Gembira, saya juga diutus untuk mewartakan kebenaran dan membawa Yesus dikenali semua orang. Semoga hidup saya sebagai FSIC dapat menjadi kesaksian dan keindahan cintakasih Tuhan dan pemeliharaan-Nya atas diri saya yang memampukan saya melayani sesama.” – Herald Malaysia