
Oleh SOCCOM KPPZ TAMPARULI
TAMPARULI – Semangat persaudaraan dan iman membara para bakal pendidik di IPG Kent apabila Catholic Student Group (CSG) menganjurkan Welccoming Junior Party (WJP) 2025 pada 5 Sept 2025, di Gereja St Philip Tamparuli. Pertemuan itu mengambil tema “Kamu semua Adalah tubuh Kristus dan kamu masing-masing adalah anggotanya” (1 Kor 12:27).
Program itu bertujuan menyambut kedatangan pelajar Katolik baharu, memperkenalkan mereka kepada keluarga CSG serta mengeratkan hubungan antara pelajar baharu dan pelajar lama di kalangan bakal pendidik dalam kampus itu.
Lebih dari 100 peserta telah mengambil bahagian dalam pengisian rohani dan aktiviti interaktif, pujian dan penyembahan, renungan tema, pengenalan CSG , perkongsian alumni, serta aktiviti rekreasi bertemakan ‘Anchored in Christ’ yang mengajak para pelajar mengakar hidup mereka dalam iman.
Kemuncak program itu dipimpin oleh Fr Wiandigool Runsab dalam Perayaan Ekaristi Kudus, diikuti dengan sesi penutupan di rumah kediaman Dr Ebon Gansoi yang diserikan dengan ucapan, perkongsian peserta, pemotongan kek kesyukuran, sesi photograpi serta jamuan makan malam bersama.
Peserta program Bastian Banadi @ Jivi, 18 berasal dari Tenom jurusan opsyen TESL menyatakan pengisian program permainan berasaskan alkitab menguji pengetahuan mereka serta mengeratkan kerjasama antara para pelajar senior. Menurutnya lagi program ini memberi rasa kesatuan sebagai umat Katolik di Kampus IPG Kent.
Bagi seorang lagi peserta, Beatrice Unyang Freddie, 19 berasal dari Baram, Sarawak dalam opsyen Bahasa Melayu berkata, “WJP 2025 mantap dan memberi banyak inspirasi baru. Kehadiran peserta yang ramai memeriahkan suasana yang penuh sukacita dalam Tuhan.”
Menurut Dr Ebon Gansui selaku penyelaras program, berakhirnya WJP 2025, jelas menunjukkan program itu bukan sekadar acara tahunan tetapi juga sebuah wadah pertemuan iman yang menghidupkan semangat komuniti Katolik. Ia mengajak para pelajar baharu dan lama untuk berjalan seiring, saling meneguhkan, dan bertumbuh bersama sebagai tubuh Kristus yang hidup di tengah dunia yang mencabar ini.