
Oleh Alicia Dora Paul
KOTA KINABALU – Perhimpunan Pastoral Wilayah Sabah (PPWS) yang diuar-uarkan sejak tahun lalu telah selamat melabuhkan tirai penutup dalam Misa Kudus penutupan sekaligus menyaksikan pelancaran Perjalanan Salib ke tiga keuskupan di Sabah.
Perhimpunan julung kali yang melakar sejarah itu telah diadakan di Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu pada 11-13 Mei 2025.
Seramai 600 delegasi telah hadir mewakili keuskupan masing-masing iaitu 316 dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, 165 delegasi dari Keuskupan Keningau manakala Keuskupan Sandakan telah menghantar seramai 119 delegasi. Jumlah kehadiran yang melebihi jangkaan awal menunjukkan bahawa uskup, paderi, religius dan umat Katolik di Sabah begitu komited terhadap perlaksanaan visi Konvensyen Pastoral Malaysia (MPC 2026) iaitu meraikan, mendengar dan berjalan dalam cahaya Tuhan (Yesaya 2:2-5).
Kaunter pendaftaran dibuka pada pukul 4.00 pm di mana semua delegasi mendaftar kehadiran di kaunter keuskupan masing-masing, justeru mendapatkan tag nama berserta nombor kumpulan mereka sepanjang program PPWS berlangsung.
Hari pertama dimulakan dengan Misa Kudus pembukaan yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong dari Keningau. Dia memulakan homilinya dengan mengajak seisi Gereja untuk mengungkapkan kesyukuran kepada Tuhan atas kesempatan untuk tiga keuskupan di Sabah berkumpul setelah tampuk pentadbiran ketiga-tiga keuskupan itu diasingkan.
Mengimbas kembali perkembangan Gereja Katolik di Sabah sejak tahun 1950-an, Uskup Cornelius berkata bahawa terdapat banyak perubahan dan pembaharuan telah berlaku sejajar peredaran masa. Katanya, segala perubahan yang ada hanya boleh terlaksana dengan adanya bimbingan dan dorongan kuasa Roh Kudus sehingga Gereja mampu melakukan seperti kehendak Tuhan. Uskup Cornelius juga mengatakan bahawa kini kita selalu mendengar konsep Gereja Sinodal yang sangat baik dan manusiawi di mana Gereja itu adalah kita, dan kita itu adalah uskup, paderi, religius dan awam yang berjalan bersama. Itulah konsep Gereja Sinodal.
Oleh itu, untuk betul-betul menghayati konsep Gereja Sinodal, setiap individu perlu mengenal Tuhan dengan berusaha memperuntukkan masa untuk mengenal Tuhan melalui doa dan sabda-Nya. Apabila kita sudah mengenal Tuhan, maka kita akan mengasihi Dia dan seterusnya bersaksi dalam kehidupan seharian kita, tambah Uskup Cornelius lagi.
Selepas Misa Kudus, acara di dewan paroki dimulakan dengan sesi pengenalan dan arah tuju Perhimpunan Pastoral Wilayah Sabah 2025 yang disampaikan oleh Pengerusi PPWS, Fr Thomas Madanan. Kemudian, di dalam kumpulan, setiap delegasi diberikan masa untuk berkenalan antara satu sama lain dan berkongsi kefahaman masing-masing berkenaan taklimat yang telah disampaikan oleh Fr Thomas.
Program hari pertama diakhiri dengan doa penutup yang dipimpin oleh Seminarian Canisius Benjamin.
Program hari kedua juga dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Julius Gitom dari Sandakan. Di dalam homilinya, Uskup Julius menekankan kepentingan mendengar antara satu sama lain. Mengambil contoh keistimewaan yang hanya diberikan kepada ahli sesebuah kelab sahaja, Uskup Julius mengatakan bahawa kerajaan Tuhan tidak mengamalkan eksklusiviti. Sesiapa sahaja boleh memasuki kerajaan Tuhan tanpa syarat dan tidak memandang kepada status sosial seseorang.
Sorotan utama pada hari kedua adalah Perbualan Rohani yang dibahagikan kepada tiga sesi. Melalui Perbualan Rohani itu setiap delegasi dalam suasana penuh doa mendengar dengan aktif dan perkongsian yang ikhlas dari hati. Pada sebelah pagi, video sejarah perkembangan Gereja Katolik di Sabah telah dimainkan, diikuti dengan Perbualan Rohani yang merujuk kepada soalan “apakah perkara atau pengalaman yang paling berharga yang anda hargai setelah mendengar sejarah Gereja Katolik di Sabah?”
Untuk sesi Perbualan Rohani yang kedua, wakil dari setiap keuskupan membentangkan laporan pastoral yang memfokus kepada empat perkara iaitu Gereja (Evangelii Gaudium), Keluarga (Amoris Laetitia), Sosial (Fratelli Tutti) dan Ekologi (Laudato Si), ini diikuti dengan renungan peribadi dan perkongsian berpandukan kepada soalan “apakah bisikan Roh Kudus kepada anda pada saat ini setelah mendengar laporan dari setiap keuskupan?”
Pada sebelah petang pula, satu sesi ceramah bertajuk Kerohanian Sinodaliti telah disampaikan oleh penceramah jemputan dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Fr Clarence Devadass, diikuti dengan Perbualan Rohani yang merujuk kepada soalan, “bagaimanakah saya sebagai umat Tuhan boleh saling menyokong dan berjalan bersama dalam mencapai misi iman kita?”
Hari kedua diakhiri dengan Saat Teduh, kemudian makan malam dan fellowship yang menggalakkan setiap delegasi berkenalan dan beramah mesra antara sesama.
Pada hari terakhir, Friar Gerald Saimel selaku Komiti Penggubalan (Drafting Committee) telah membentangkan draf pertama Penyataan Misi Pastoral Gereja Katolik di Sabah yang menyenaraikan sembilan perkara berikut:
1. Iman Adalah Warisan dan Tanggungjawab
Kami menghargai dan menghidupkan kembali warisan iman melalui rasa syukur, dokumentasi sejarah, dan pewartaan Injil yang relevan. Kami melanjutkan warisan iman bukan sekadar dengan mengenang, tetapi melalui tindakan penginjilan yang nyata.
2. Keluarga dan Belia Adalah Jantung Misi
Keluarga adalah sekolah awal pembentukan iman dan panggilan hidup, dan anak muda adalah peneraju masa kini serta masa depan Gereja. Kami berkomitmen untuk memperkasa institusi keluarga kristian dan mendampingi belia agar mereka mengenal Kristus secara peribadi dan menjadi saksi-Nya dalam dunia masa kini.
3. Gereja Dibina daripada Akar Umbi
Kami membina komuniti beriman yang bermula daripada keluarga, Komuniti Kristian Dasar (KKD), belia, sekolah dan seluruh lapisan umat, dengan penglibatan aktif semua dalam semangat kerjasama dan persaudaraan.
4. Sinodaliti Adalah Gaya Hidup Gereja
Kami mempraktikkan sinodaliti — mendengar, berdialog, dan berjalan bersama — dalam semua peringkat kehidupan Gereja, dengan mengambil kira setiap suara, terutama bagi mereka yang tersisih.
5. Pelayanan Berakar dalam Roh Kudus dan Doa
Kami melayani dengan rendah hati, dengan kekuatan dari doa, sabda, dan sakramen. Segala perancangan dan tindakan pastoral kami berakar dalam discernment dan penyerahan kepada kehendak Tuhan.
6. Mengenal dan Menjawab Panggilan Hidup
Menggembala dan membimbing generasi muda untuk mendengar bisikan Roh Kudus, agar berani menyahut Panggilan pelayanan kudus Gereja sama ada sebagai awam, religius, atau paderi — dan dengan rela hati menjawabnya dalam iman dan pelayanan yang setia.
7. Merayakan Sakramen Sebagai Sumber Kehidupan
Menghargai dan merayakan sakramen-sakramen Gereja sebagai tanda nyata kehadiran Kristus yang menyertai, menguduskan dan memperbaharui hidup kami.
8. Gereja yang Inklusif, Misionari dan hidup, bertindak, dan mewartakan Injil
Kami menjadi Gereja yang terbuka dan berani bersaksi membawa kebenaran terhadap isu-isu sosial, kemanusiaan dan alam sekitar. Kepelbagaian budaya dalam setiap keuskupan bukanlah halangan, melainkan sumber kekayaan untuk saling melengkapi dan bergerak ke arah misi bersama.
9. Pertobatan Yang Berterusan Adalah Kunci Gaya Hidup Sinodal
Kami sedar bahawa perjalanan bersama bermula dengan pertobatan dan pembaharuan diri. Kami membenarkan Roh Kudus menjamah hati kami agar mampu berjalan dalam kesatuan, kasih dan kesetiaan. Dengan kasih dan harapan yang menyala, kami berjalan bersama dalam semangat sinodaliti untuk meneruskan sejarah iman yang hidup dan memikul tanggungjawab zaman ini serta menghadapi masa depan Gereja dengan penuh keyakinan akan penyertaan Roh Kudus.
Sembilan perkara tersebut adalah hasil pungutan suara daripada setiap delegasi melalui perbualan rohani di dalam kumpulan.
Uskup Agung John Wong berkata, “Penyataan Misi Pastoral ini adalah hasil awal daripada Perhimpunan Pastoral Wilayah Sabah, ia masih perlu diperhalusi melalui doa dan renungan yang lebih mendalam.”
Pada jam 11.00 am, Misa Kudus penutup dipimpin oleh Uskup Agung John Wong. Uskup Agung berpesan bahawa Roh Kudus senantiasa bersama kita walau di mana pun kita berada. Oleh itu, kehidupan kita harus melambangkan Tuhan yang telah bangkit dari maut. Prelatus itu juga berkongsi tiga perkataan yang disebut oleh mendiang Bapa Suci Fransiskus iaitu persekutuan, partisipasi dan misi. “Oleh kerana kita terpilih menjadi anak kesayangan Tuhan, ketahuilah bahawa setiap kita mempunyai misi sejak pembaptisan yang dimandatkan oleh Tuhan Yesus kepada kita. Dengan adanya misi itu, kita harus partisipasi dalam kehidupan Gereja dan melalui partisipasi itu kita hidup dalam persekutuan dengan satu sama lain,” tambahnya.
Selesai Misa pada hari terakhir, gimik pelancaran Perjalanan Salib di ketiga-tiga keuskupan telah dijalankan di mana Salib diusung keluar dari Gereja, dan masing-masing Keuskupan Keningau dan Sandakan membawa Salib balik ke keuskupan mereka.
Perhimpunan ini diakhiri dengan makan tengahari bersama sebelum kembali ke destinasi masing-masing dengan membawa pulang semangat pengharapan yang telah diperbaharui dan misi untuk berjalan bersama dalam Gereja Sinodal menuju MPC 2026!