
Oleh Sr Slylvia Stanis
RAWANG – “Kepelbagaian Disatukan Dalam Kasih Tuhan” merupakan tema perayaan KAGAPE (Kaamatan, Gawai dan Panen) yang diadakan pada Jun 15, di Gereja St Jude.
Perayaan itu bermula dengan Misa Kudus sempena Hari Raya Tritunggal Mahakudus yang dipimpin oleh Fr Simon Labrooy.
Dalam homilinya, Fr Simon menyatakan bahawa misteri agung satu Tuhan dalam tiga Peribadi: Bapa, Putera, dan Roh Kudus — bukan sekadar konsep teologi untuk difahami, tetapi suatu hubungan yang perlu dialami.
Jelasnya, “Tritunggal adalah kesatuan, kasih, dan komuniti — Tuhan yang wujud bukan secara terpencil, tetapi dalam persekutuan kasih yang abadi.”
Paderi itu mengajak hadirin untuk merenungkannya dalam konteks perayaan Gawai (Sarawak), Kaamatan (Sabah), dan Panen (komuniti Dayak dan peribumi Borneo) di mana perayaan menuai ini adalah bersifat komuniti, melibatkan keluarga besar dan seluruh kampung dalam ucapan syukur, tarian, upacara dan perkongsian makanan serta cerita.
Selepas perayaan Misa Kudus, para bapa di jemput kehadapan untuk menerima berkat sempena Hari Bapa.
Sambutan perayaan KAGAPE diteruskan di dewan Gereja. Semasa sesi ucapan, Fr Jonathan Rao yang mewakili paderi paroki St Jude menyeru agar umat paroki terus berusaha mengekalkan kesatuan.
Fr Jonathan mengatakan “Semangat kebersamaan (sense of belonging) perlu ada dalam diri setiap umat terutama komuniti umat berbahasa Melayu agar perasaan seperti rasa tersingkir, tidak dipedulikan — dapat dielakkan.”
Beliau juga meneguhkan bahawa dalam nama Tuhan Yesus semua umat telah disatukan dan semua adalah layak untuk datang bersatu dengan orang sebagai satu Tubuh Kristus.
Perayaan itu diakhiri dengan acara “Ngiling Bidai” yang dalam bahasa Iban bermaksud “menggulung tikar” iaitu simbolik kepada penutupan perayaan diikuti dengan doa penututp. – Herald Malaysia