
Oleh Stella Eming Dydimus
KUALA PENYU – Bendera paroki dan panji-panji dari setiap Gereja stasi luar yang bernaung dalam Gereja St Peter, Bundu, dibawa dalam perarakan masuk sempena Hari Paroki St Peter.
Fr Roney Mailap, dalam homili menyatakan bahawa walaupun kedua-dua Santo, Petrus dan Santo Paulus ini mempunyai peribadi yang berbeza namun kedua-keduanya dipilih oleh Tuhan kerana iman mereka.
“Manusia diangkat menjadi pemimpin bukan kerana kebolehan dan kemampuan tetapi kerana Tuhan mencintai, berbelas kasih dan mengerti akan kehidupan manusiawi.”
Oleh sebab itu, hidupilah iman yang telah diberikan seperti Santo Petrus dan Paulus mengekalkan iman mereka walaupun dianiaya,” kata Fr Roney.
Paderi itu mengajak umat agar meneladani peribadi Santo Petrus dan Santo Paulus yang boleh diutus untuk pelbagai pelayanan.
“Usahakan apa yang Tuhan inginkan, bukan apa yang kita inginkan,” pesan Fr Roney Mailap.
Sempena Hari Paroki, umat dapat menonton video tentang permulaan iman Katolik di Kuala Penyu, perkembangan fizikal setiap Gereja di stasi luar dan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan di paroki.
Gimik perasmian perayaan disempurnakan oleh Fr Roney dengan 11 paluan gong yang melambangkan 10 gereja outstasi dan sebuah Gereja pusat yang komited untuk berjalan bersama dalam semangat sinodal. – Herald Malaysia