
Oleh Alicia Dora Paul
KOTA KINABALU – Seramai lebih 1000 wanita telah hadir meraikan Jubli Wanita 2025 peringkat Keuskupan Agung Kota Kinabalu pada 5 Jul 2025 di Katedral Hati Kudus.
Program yang berlangsung selama sehari itu bermula dengan pendaftaran peserta seawal jam 7.00 pagi. Peserta hadir dengan pakaian mengikut tema iaitu warna biru.
Sesi pertama bermula pada jam 8.30 pagi di mana peserta telah dibahagikan mengikut kumpulan bahasa masing-masing. Katekesis yang bertajuk “Wanita Harapan” untuk kumpulan Bahasa Melayu telah disampaikan oleh Msgr Nicholas Stephen, Bahasa Inggeris disampaikan oleh Fr Terans Thaddeus dan Bahasa Cina pula disampaikan oleh Fr Sylvester Wong.
Sesi kedua pula adalah Pentakhtaan Alkitab yang dipimpin oleh Fr Terans di dewan katedral, disusuli dengan perarakan dari dewan menuju ke Gereja. Semua yang hadir berarak perlahan sambil menyanyikan lagu “Tina Za do Koupusan” dan masuk ke Gereja melalui Pintu Harapan. Selepas semua umat mendapat tempat duduk, Fr Terans memberikan katekesis singkat berkenaan Tahun Jubli dan diakhiri dengan doa rosari serta renungan peribadi peserta.
Pada sebelah petang pula, sekali lagi semua peserta dibahagikan mengikut kumpulan bahasa masing-masing untuk sesi perbualan rohani. Fr Rayner Bisius selaku penasihat kepada Komisi Wanita Katolik di Keuskupan Agung Kota Kinabalu memberikan penerangan ringkas berkenaan proses bagaimana perbualan rohani itu dijalankan.
Semua peserta membentuk kumpulan sendiri yang terdiri daripada beberapa orang berlainan paroki untuk sesi perbualan rohani. Berdasarkan kepada katekesis “Wanita Harapan” yang disampaikan pagi itu, peserta diminta untuk mengongsikan perkara yang menyentuh hati dan memberikan inspirasi kepada mereka dan apakah harapan mereka sebagai seorang wanita Katolik.
Sesi itu sangat membuka minda kerana kebanyakkan yang hadir belum pernah melalui perbualan rohani dan peluang itu dijadikan sebagai satu platfom untuk mendengar dalam Roh Kudus. Tanpa prejudis, setiap ahli kumpulan memberikan sokongan kepada satu sama lain melalui dorongan nasihat dan doa.
Tepat jam 6.00 petang, peserta merayakan Misa Kudus sempena Jubli Wanita itu dipimpin oleh Uskup Agung John Wong dan disertai oleh beberapa orang paderi.
Selepas Misa Kudus, semua yang hadir kembali ke dewan katedral untuk jamuan makan bersama Uskup Agung John. Dalam ucapannya, Uskup Agung mengucapkan tahniah kepada komiti penganjur kerana berjaya melaksanakan Hari Jubli Wanita 2025 dengan baik. Dia juga berkata bahawa wanita adalah pembawa harapan di dalam keluarga, Gereja dan masyarakat. Dia turut memberikan contoh beberapa wanita sejak zaman Alkitab lagi telah dipakai oleh Tuhan untuk menjadi saluran berkat dan harapan walaupun mereka harus menempuh jalan yang penuh cabaran. “Saya berdoa agar setiap wanita di sini menjadi seperti pelita yang menyinari kegelapan, menjadi suara yang membawa damai, dan menjadi tangan yang menghulurkan kasih,” katanya mengakhiri ucapan.
Sementara acara makan berlangsung, hadirin telah dihiburkan dengan beberapa acara pentas.
Kemuncak kepada program hari itu adalah penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan kepada tiga ahli Liga Wanita Katolik yang telah lama melayani dalam paroki masing-masing dan kepada paroki St Peter Claver, Ranau atas jumlah penyertaan yang menggalakkan.