
KUALA PENYU – Groto Maria Bonda Rahmat Ilahi yang berada di Taman Ziarah Paroki St Peter, Kuala Penyu menjadi medan pemula rekoleksi bagi Pemimpin Ibadat Sabda (PIS) dan Pembantu Pelayan Komuni (PPK) pada 18 Okt 2025. Seramai 61 peserta rekoleksi memulakan program dengan Doa Rosari yang dipimpin oleh Evelyn Rafi.
Rekoleksi PIS dan PPK itu bertujuan untuk memberikan dan memperdalamkan pengetahuan tentang Bonda Maria bagi menambah baik pelayanan para pelayan gereja selain sebagai persediaan untuk menyambut Hari Keluarga PIS dan PPK pada 20 Okt.
Menggunakan rujukan Dokumen Konsili Vatikan II, Konstitusi Dogma tentang Gereja, Bab Lapan, Fr Roney Mailap, menerangkan topik berkenaan Bonda Maria dalam kehidupan Gereja. Empat Dogma Maria menurut ajaran rasmi gereja ialah Maria Bonda kepada Tuhan Yesus, Maria Diangkat ke Syurga, Maria Dikandung Tanpa Noda dan Keperawanan Abadi Maria.
Diingatkan juga kepada para pemimpin ibadat sabda semasa memberi pengajaran kepada umat, sesi perkongsian peribadi tentang Bonda Maria tidak salah tetapi jangan sampai menggugat ajaran rasmi gereja tentang Bonda Maria. “Kita memberikan penghormatan kepada Bonda Maria tetapi tidak menyembahNya,” kata Fr Roney Mailap.
Para peserta seterusnya diberi masa peribadi di sekitar taman itu untuk membuat renungan dan penghayatan berdasarkan soalan ‘Sejauh manakah Bonda Maria sudah mempengaruhi cara saya mengajar dan melayani?’ Sesi itu juga memberi kesempatan kepada para peserta untuk menumpukan sepenuh perhatian mereka tentang hubungan mereka dengan Tuhan.
Saat teduh dijalankan di dalam Chapel sebelum sesi seterusnya iaitu berkaitan dengan Tugas dan Peranan Bonda Maria dalam Gereja. Berdasarkan dari sumber: Katekismus Gereja Katolik (KGK)/Catechism of the Catholic Church (CCC). Fr Roney, menjelaskan empat peranan Bonda Maria iaitu: Bersatu dengan Yesus dan Misi PenyelamatanNya, Bersatu dan Menyertai Gereja, Model Iman Gereja dan Bonda Gereja (Pengantara Gereja dalam Sifat Keibuan).
“Kami percaya bahawa Bonda Tuhan tersuci, Hawa yang baru, Bonda Gereja, meneruskann di dalam syurga keibuannya terhadap anggota-anggota Kristus” (SPF 15).
Di akhir rekoleksi, Raymond Misin selaku Pengerusi PIS menggalakkan ahli keluarga anggota PIS dan PPK hadir pada Hari Keluarga PIS dan PPK sebagai tanda sokongan dan kebersamaan. Rekoleksi setengah hari itu diakhiri dengan sesi bergambar dan makan tengahari bersama.












































