
Oleh dospo
SANDAKAN – Pada 22-23 Nov 2025, Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan telah menganjurkan Ziarah Belia sempena Tahun Jubli dan juga Hari Belia Sedunia kali ke-40. Seramai 217 belia di seluruh Keuskupan Sandakan telah ikut serta dalam ziarah ini.
Para penziarah memulakan ziarah dengan merayakan Hari Belia Sedunia ke-40 pada 22 Nov dengan mendengar pesanan Bapa Suci Leo XIV kepada para belia dengan tema; “You are also my witness, because you have been with me” (Yoh 15:27). Pesanan Bapa Suci Leo XIV ini telah disampaikan oleh Sr Noemi Mejia, fsic. Seusai mendengar pesanan Bapa Suci, para penziarah mengadakan sesi Perbualan Rohani yang telah dikendalikan oleh Fettwinda Sipaan dan diteruskan dengan aktiviti barbeku dan unggun api.
Pada 23 Nov, seawal jam 5 pagi, para penziarah mula bergerak dari penginapan ke gereja St Joseph. Fr Dafrinn Diwol telah memimpin doa sebelum para penziarah memulakan perjalanan ziarah ke Katedral St Mary. Walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak baik, para penziarah tetap meneruskan perjalanan dalam suasana doa dan penuh semangat. Salib Jubli mendahului para penziarah sepanjang perjalanan.
Sesampainya di Katedral, para penziarah mengikuti Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr David Garaman. Dalam homilinya, Fr David sekali lagi menegaskan pesan Bapa Suci Leo XIV kepada para belia. Seusai Misa Kudus, para penziarah meneruskan perjalanan menuju ke Marian Mount Pilgrimage Centre sambil berdoa rosari.
Perjalanan ziarah diakhiri dengan memasuki Pintu Jubli dan doa di hadapan Salib Jubli yang dipimpin oleh Fr Dafrinn Diwol.
Perkongsian salah seorang belia yang mengangkat Salib Jubili

Salib yang saya pikul..berbaloi atau tidak?
Sebagai orang pertama yang sampai ke katedral, yang membawa salib. Pada saat dekat dengan katedral, tiba-tiba saya berasa keberatan yang sangat berat di hati saya. Seolah-olah tekanan dari pelayanan dan pekerjaan telah membuat saya tidak larat untuk teruskan. Pada saat itu, hati saya hanya berseru kepada Dia, “biar semua bebanan yang saya pikul pada saat ini, cukup untuk menyenangkan orang di sekeliling.
Apabila paderi membuka pintu Jubilee, saya berasa seperti St Peter sedang membuka pintu Syurga untuk saya. “Akhirnya saya telah tiba di pintu-Nya” ayat ini berada dalam fikiran saya.
Memasuki katedral yang kosong, diiringi lagu tema Tahun Ziarah, seperti berada dalam Syurga-Rumah Tuhan. Beberapa soalan telah ditanya oleh saya kepada Tuhan. “Adakah saya telah buat baik dalam perlumbaan hidup ini?” “Adakah cukup untuk segala yang saya telah buat?”
Saya tahu, pengorbanan dalam hidup saya tidak pernah sia-sia di mata Tuhan kerana usaha saya sentiasa mencukupi bagi Dia.
Semoga kita sentiasa berharap dengan Tuhan biarpun apa saja yang berlaku kerana Dia sememangnya mencukupi dan berbaloi untuk segala yang kita usahakan. – dospo












































