
Herald Malaysia
KENINGAU – Sejak dibentuk dan disahkan secara rasmi pada 27 Jul 1997 di Katedral St Francis Xavier oleh Uskup Cornelius Piong, Instituisi Sekular Komuniti Betania (ISKB) terus bertahan dan berkembang sebagai komuniti sekular yang mewartakan Injil Tuhan.
Dengan rahmat besar Tuhan, ISKB terus berkembang dan hampir setiap tahun, ada sahaja mereka yang terpanggil untuk menyertainya.
Pada tahun ini, dua orang awam telah melafazkan komitmen pertama mereka sebagai anggota ISKB iaitu Edvilito Edward dan Frederic Micheal Obih.
Enam ISKB lain iaitu Liza Matthew, Mariana William, Marcel Lasius, Regina Philip, Sorinah Paungin dan Charlleo Chari, memperbaharui janji komitmen mereka.
Upacara diadakan semasa Misa Kudus pada 21 Nov 2025, di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal dan disempurnakan oleh pengasas ISKB iaitu Uskup Cornelius Piong.
Keunikan ISKB ialah mereka tetap awam seperti umat beriman yang lain.
Namun, ISKB mengucapkan janji komitmen secara rasmi dan umum dalam Gereja, hidup tunggal dan mengamalkan hidup doa yang khusus serta komitmen pada kemurnian, kesederhanaan dan ketaatan kepada Tuhan dan pemimpin Gereja. – Herald Malaysia












































