
Herald Malaysia
PULAU PINANG – Pada awal bulan lalu, sekumpulan kaum muda berhimpun di Kolej General untuk mengadakan beberapa kegiatan rohani.
Suasana pagi pada 7 Mac, dipenuhi keterujaan apabila peserta dari pelbagai komiti berkumpul, bertemu rakan lama dan berkenalan dengan yang baharu.
Hari itu dimulakan dengan Misa Kudus, diikuti upacara penghormatan kepada santo muda seperti Carlo Acutis, Maria Goretti dan Gabriel dari Perawan Maria Duka Cita, yang menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk mengejar kesucian dalam kehidupan harian.
Keceriaan para belia melonjak semasa sesi berkenalan sekali gus mencipta rasa kekitaan yang kuat.
Ini diikuti dengan sesi yang menarik oleh Fr Simon Anand, ketua Jaringan Belia Keuskupan Pulau Pinang, bertajuk “Di Dalam Perahu, Bersama.”
Pesan beliau tertumpu pada perpaduan, misi bersama, dan panggilan untuk setiap orang muda mengenali peranan mereka dalam kehidupan Gereja.
Selepas makan tengah hari, aktiviti diteruskan dengan sesi mengenai perjalanan Penang Diocesan Youth Day 6 (PDYD-6) dan Hari Belia Sedunia oleh Jason Alexander, Penyelaras Belia Rangkaian Belia Keuskupan Pulau Pinang.
Beliau menjelaskan gambaran yang menginspirasi tentang perjalanan menuju PDYD-6, menggalakkan peserta melihatnya bukan sekadar sebagai satu acara, tetapi sebagai perjalanan iman yang bermakna.
Beliau juga berkongsi tentang Salib Belia, simbol perpaduan, misi, dan ziarah yang mengajak golongan muda untuk berjalan bersama.
Jason juga menghubungkan aktiviti di peringkat paroki ini dengan pengalaman global Hari Belia Sedunia, mengingatkan peserta bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti besar belia Katolik di seluruh dunia.
Dalam sesi seterusnya, Jason mengajak belia untuk mengambil tanggungjawab terhadap peranan mereka, secara aktif menyertai persiapan, dan menerima identiti mereka sebagai murid-murid misionari.
Semasa program di luar dewan, para peserta membuat perkongsian dalam kumpulan, memberikan ruang kepada mereka untuk merenung, menjalin persahabatan dan memperluas perkenalan.
Program itu diakhiri dengan pengutusan yang memberi mandat kepada para peserta untuk membawa iman dan perpaduan yang diperbaharui ke dalam kehidupan seharian mereka. – Herald Malaysia
















































