
Herald Malaysia
PLENTONG, Johor — Kem Immanuel 2025 telah berlangsung pada Oktober 11-12 lalu di Pusat Majodi Plentong, Johor.
Program itu dianjurkan oleh Bahasa Malaysia Language and Culture Council (BMLCC) di bawah pimpinan Fr Moses Rayappan, dengan tema “Kamu juga akan bersaksi tentang-Ku, kerana kamu semua bersama-Ku dari mula lagi” (Yohanes 15:27) yang dipetik daripada tema Hari Belia Katolik Sedunia 2025.
Program dirancang sebagai satu inisiatif pastoral belia keuskupan bagi menggalakkan pertumbuhan rohani dalam kalangan belia Katolik berumur 13 hingga 17 tahun.
Penyertaan melibatkan 11 paroki daripada tiga vikariat di Keuskupan Melaka-Johor, sekali gus mencerminkan semangat kesatuan Gereja dalam kepelbagaian.
Penceramah utama, Sr Magdalena FSIC, dan Seminarian Natheniel, memperkayakan perjalanan iman melalui perkongsian rohani yang menyentuh hati serta membangkitkan semangat pelayanan.
Sepanjang dua hari program, para peserta dibimbing dalam satu perjalanan iman yang tersusun dan progresif, yang membantu mereka menyelami inti iman Kristian secara lebih mendalam.
Perjalanan ini bermula dengan perenungan mengenai martabat luhur manusia, yang diciptakan menurut rupa dan gambaran Tuhan; satu martabat yang bukan sahaja mencerminkan kasih Pencipta, tetapi juga memanggil manusia untuk hidup dalam hubungan persekutuan denganNya.
Dalam kesedaran akan keindahan ciptaan ini, para peserta diundang untuk merenungkan realiti kejatuhan manusia melalui dosa asal, yang memutuskan hubungan mesra manusia dengan Tuhan serta meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah kemanusiaan.
Namun, dalam kegelapan dosa itu, kasih penyelamatan Yesus Kristus dinyatakan dengan nyata.
Melalui misteri Inkarnasi, wafat dan kebangkitanNya, Kristus telah membuka jalan penebusan, menyembuhkan luka dosa, memulihkan martabat manusia, serta memperbaharui hidup dengan rahmat yang menghidupkan.
Para peserta diajak untuk bukan sahaja memahami kebenaran ini secara intelektual, tetapi juga mengalaminya secara peribadi melalui pelbagai bentuk pengisian rohani yang dirancang dengan teliti.
Melalui doa peribadi dan komuniti, pujian dan penyembahan, perkongsian firman, bengkel rohani, aktiviti komuniti serta perayaan Misa Kudus sebagai kemuncak iman, para peserta disapa oleh kasih Tuhan yang hidup dan nyata.
Dalam pertemuan rohani ini, mereka disedarkan bahawa kasih Tuhan bukan sekadar suatu pengajaran, tetapi suatu pengalaman peribadi akan kehadiran Kristus yang membebaskan, menyembuhkan dan mengutus. Akhirnya, mereka diperkukuh untuk melangkah keluar sebagai saksi kasih Kristus; mewartakan Injil bukan hanya dengan kata-kata, tetapi melalui cara hidup yang mencerminkan kasih Tuhan dalam dunia masa kini.
Suasana kem yang penuh semangat dan keterbukaan menjadikan program itu lebih daripada sekadar perhimpunan belia; ia menjadi ruang perjumpaan peribadi antara Tuhan dan anak-anakNya.
Salah seorang peserta menyatakan, “Melalui kem ini, saya belajar bahawa iman bukan sekadar kata-kata tetapi kesaksian hidup. Saya mahu menjadi saksi kasih Yesus kepada rakan-rakan saya.”
Selain pengisian rohani yang mendalam, kem itu turut memberikan kesan yang nyata terhadap kehidupan para peserta, sebagaimana yang dicatat melalui borang evaluasi yang telah mereka isi.
Ramai peserta menzahirkan pengalaman peribadi yang menyentuh hati, khususnya dalam menyedari identiti mereka sebagai anak-anak Tuhan yang dikasihi.
“Kita istimewa bagi Yesus,” dan “Kita dilahirkan bukan secara kebetulan kata seorang peserta yang mengakui Kem Immanuel, membuatkannya semakin akrab dengan Tuhan.
“Saya belajar untuk berdoa dengan lebih ikhlas dan memahami kasih Tuhan dalam kehidupan saya,” katanya.
Seorang lagi peserta menyatakan, “Sepanjang Kem Immanuel ini, saya belajar untuk lebih dekat dengan Tuhan melalui doa. Saya juga sedar bahawa kasih Tuhan sentiasa menyertai saya walaupun saya mempunyai banyak kelemahan. ”
Tindak balas yang dikemukakan oleh para peserta menunjukkan bahawa kem tersebut bukan sekadar menyampaikan pengetahuan rohani, tetapi juga pengalaman perjumpaan peribadi dengan Kristus yang menyentuh dan mengubah hati.
Kem Immanuel 2025 bukan sekadar sebuah program hujung minggu, tetapi sebuah perhentian rohani yang meneguhkan iman, memperdalam cinta kepada Tuhan dan menyalakan api pelayanan dalam hati para belia. – Herald Malaysia
			





























			









