
Oleh Adrian Sikajat, CCR
PURAK, Papar – Komuniti Catholic Charismatic Renewal (CCR) St Paul Dontozidon (SPD), yang diketuai oleh Koordinator, Patrick Adau, telah mengadakan Lawatan Amal Kasih ke Holy Family Senior Citizens Residence, Purak, Papar pada 22 Nov 2025, sebagai salah satu aktiviti musim Advent. Program itu dianjurkan oleh Ministry Sosial CCR SPD di bawah pimpinan Milven Ejot.
Lawatan itu bertujuan menghidupi semangat pelayanan dan mewartakan kasih Kristus melalui kehadiran, perhatian, serta sokongan kepada para warga emas yang menghuni pusat jagaan tersebut.
Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Sr Clara, sister bertugas di pusat jagaan berkenaan, disusuli ucapan serta doa pembukaan oleh Koordinator CCR SPD, Patrick Adau.
Sebagai tanda kasih, komuniti CCR SPD menghulurkan sumbangan berupa wang tunai serta barangan keperluan seperti lampin pakai buang dan beras. Sumbangan tersebut disampaikan kepada Sr Clara bagi pihak pengurusan Holy Family Residence.
Sesi puji-pujian dan penyembahan yang dipimpin oleh kumpulan muzik dan koir CCR SPD menghidupkan suasana dengan penuh sukacita apabila warga emas turut serta dalam nyanyian dan gerakan pujian. Para penghuni kemudiannya menikmati hidangan makan tengah hari yang disediakan khas oleh ahli-ahli CCR SPD.
Selepas itu, perkhidmatan gunting rambut percuma diberikan oleh Julia Salon Donggongon yang diketuai oleh Julia Muliakim, sebagai satu lagi bentuk pelayanan kepada mereka yang memerlukan. Pada masa yang sama, ahli-ahli CCR SPD berpeluang beramah mesra dan berbual-bual dengan para warga emas.
Acara diteruskan dengan nyanyian dan tarian bebas yang menambah kegembiraan pada suasana sebelum program diakhiri dengan doa penutup oleh Timbalan Koordinator, Paulus Jouil.
Secara keseluruhan, program itu berjalan lancar dan penuh berkat. Ia bukan sahaja membawa kegembiraan kepada para warga emas di Holy Family Residence, tetapi juga memperkukuh semangat pelayanan dalam kalangan komuniti CCR SPD. Inisiatif sebegini akan diteruskan sebagai komitmen berterusan dalam melaksanakan misi pelayanan kasih kepada masyarakat.
Segala puji syukur dipanjatkan kepada Tuhan, Tritunggal Maha Kudus atas berkat dan penyertaanNya sepanjang program ini berlangsung. Terima kasih diucapkan kepada semua ahli CCR SPD atas kemurahan hati, sokongan, dan kerjasama dalam menjayakan Lawatan Amal Kasih ini.
Tuhan Yesus memberkati.














































