Oleh Herald Malaysia
KUALA LUMPUR – Pelayanan Penjara lebih daripada sekadar melawat banduan untuk berkongsi sabda Tuhan atau kaunseling. Ia tentang berjalan bersama para tahanan menuju pemulihan, rehabilitasi dan berintegrasi semula dalam kalangan masyarakat.
Selepas menjalani hukuman, ramai bekas banduan ditempatkan di rumah perantaraan — ruang peralihan yang menawarkan struktur, sokongan dan harapan. Rumah-rumah ini adalah penting dalam membantu individu membina semula kehidupan mereka dan mengelakkan daripada kembali kepada corak lama ketagihan atau tingkah laku jenayah.
Pada Mei 10, ahli-ahli Pelayanan Penjara dari Gereja Keluarga Kudus, Kajang melawat Rumah Komuniti Second Chance (SCCH) di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Lawatan tersebut bertujuan untuk memahami dengan lebih baik peranan rumah perantaraan dan program pemulihan. Apa yang menggembirakan ialah SCCH beroperasi dengan kerjasama Persatuan St Vincent de Paul (SSVP) dari paroki yang sama.
Rombongan menerima sambutan hangat daripada sebelas penghuni SCCH. Para banduan adalah sebahagian daripada program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL), satu inisiatif oleh Jabatan Penjara yang membolehkan banduan dengan baki hukuman kurang daripada tiga tahun untuk menyelesaikan fasa akhir pemulihan di bawah pelepasan bersyarat iaitu tiada kesalahan berulang.
Lawatan itu dimulakan dengan sesi puji dan syukur. Pengarah SCCH, Daniel Lew menceritakan perjalanan imannya yang bangkit selepas sekian lama ‘jatuh’. Tersentuh dengan belas kasihan Tuhan, dia menemui sukacita dalam melayani orang lain dan, pada tahun 2007, mula bekerja rapat dengan Pelayanan Penjara. Kerjasama itu akhirnya menginspirasikan beliau untuk menubuhkan Second Chance Community Home di bawah bimbingan SSVP.
“SCCH menawarkan program pemulihan holistik,” jelas Daniel. “Selain perlindungan asas, kami menyediakan kaunseling, perkongsian Alkitab, sokongan emosi, latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.” Ini semua adalah elemen penting dalam membantu banduan mengakhiri kitaran jenayah dan ketagihan. John Kor, pengerusi Pelayanan Penjara, memuji SCCH kerana menyediakan bukan sahaja rumah fizikal, tetapi juga penjagaan emosi dan rohani kepada bekas banduan serta peluang kedua bagi para penghuni Rumah tersebut.
Dalam sesi perkongsian, beberapa penghuni SCCH berkongsi pengalaman menyentuh hati mereka sendiri—cerita tentang pengabaian, kemarahan dan kekosongan rohani yang diubah oleh kasih sayang dan penerimaan yang ditemui di SCCH. – Herald Malaysia