
Oleh Arin Robert/Max
RANAU – “Janganlah ragu-ragu, berdoa lah kerana tiada doa yang tidak didengari oleh Tuhan. Doa kita, seorang pendosa juga didengari oleh Tuhan dan Tuhan pasti memberikan yang terbaik untuk kita”.
Demikian antara homili Fr Wilson Francis yang menyeru umat untuk terus berdoa kepada Tuhan dalam perayaan pesta Santa Anna penaung bagi Chapel St Anne Nuluhon Marajang Sedul-2 Paroki Ranau pada 26 Julai 2025.
Sekitar 180 penziarah turut serta dalam sambutan itu yang dimulai dengan Rosari Santa Anna mempersembahkan doa pengharapan melalui Santa Anna kepada Kristus sebelum Misa Kudus dimulakan yang dipimpin oleh Fr Wilson.
Perarakan membawa patung Santa Anna (gambar) dilakukan dari luar memasuki ruangan chapel bersama para umat diiringi dengan lagu pujian kepada Santa Anna.
Santa Anna dihormati Gereja sebagai ibu kepada Bonda Maria (ibu kepada Yesus Kristus). Santa Anna dan suaminya iaitu Santo Joachim tidak mempunyai anak walaupun sudah lama berkahwin. Namun berkat doa mereka kepada Tuhan selama bertahun-tahun, mereka akhirnya dikurniakan anak pada usia lanjut. Santa Anna telah melahirkan anaknya yang disebut Perawan Maria Immaculata (yang Dikandung Tanpa Dosa). Santa Anna dan Santo Joachim telah berjanji akan mempersembahkan anak mereka kepada Tuhan sekiranya mereka diberikan rezeki anak. Ketika Maria berumur tiga tahun, Santa Anna dan Santo Joachim telah mempersembahkan Maria kepada Tuhan. Santa Anna dan Santo Joachim telah menjadi pendoa sehinggalah mereka dipanggil pulang ke rumah Bapa.
Selepas Misa Kudus, Fr Wilson meneruskan upacara menurut tradisi membakar kertas doa permohonan para penziarah dan umat setempat yang telah dipersembahkan dalam Misa Kudus sebagai simbol doa tersebut diangkat kepada Santa Anna.
Dalam sesi ucapan, pengerusi KUK St Anne Sedul-2, Paulus Kotos mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam persiapan sambutan Pesta Santa Anna penaung chapel itu yang terletak di atas bukit di mana ia dinamakan sebagai ‘Nuluhon Marajang’ oleh penduduk pertama kampung di sana serta menyampaikan rasa syukur dan berterima kasih kepada Fr Wilson atas kesudian beliau meluangkan masa bersama.
Paulus juga memanjangkan ucapan terima kasih kepada para katekis, petugas liturgi dan kumpulan koir dari Tim Pelayanan Belia Chapel St Francis of Assisi, Kg Kinorotuan dalam Misa Kudus tersebut. Ucapan terima kasih juga diberikan kepada pengerusi KUK di setiap Zon Nalapak dan Pengerusi Zon Jeffry Ludin Yamou.
Kat Benjamin Justin selaku katekis Chapel dan pencetus idea penziarahan kepada Santa Anna di Chapel itu ketika ditemui, menzahirkan rasa syukur dan terharu atas kehadiran para penziarah dan umat setempat pada hari itu.
“Biarpun hanya chapel kecil sahaja, Santa Anna telah didedikasikan sebagai pelindung chapel ini dan Pesta Santa Anna di Chapel St Anne ini telah mula membuka kesempatan kepada umat untuk berziarah sejak 23 Julai 2023 dengan harapan para penziarah dapat menemui pengharapan melalui ziarah tersebut,” kata Benjamin.
Beliau juga berharap umat dapat merasakan sesuatu kerana doa Santa Anna akan lebih bermakna dengan iman kasih dan pengharapan yang memerlukan kesetiaan doa kita bersama Santa Anna kepada Kristus. Santa Anna dihormati oleh gereja Katolik bukan sahaja sebagai pelindung para ibu, namun juga bagi wanita yang ingin hamil, ibu hamil, anak yatim piatu, datuk dan nenek.
Sambutan santo penaung chapel yang turut di hadiri Kat Juin Samin, Kat Rita Daide, Kat Ludis Patuk, Kat Martin Agustin, dan pengerusi KUK St Joseph The Worker, Evelyin Gunting dimeriahkan lagi dengan acara memotong kek, jamuan makan bersama, cabutan nama bertuah, lagu-lagu tajaan dan persembahan tarian rebana anak-anak PMG yang diadakan di ruangan sayap Chapel.