
Oleh Catholic Sabah
LIMBAHAU – Sewaktu kumpulan penziarah bagi Tahun Jubli Harapan mula reda, Gereja sekali lagi membuka musim rahmat yang baharu. Pada 10 Jan 2026, Bapa Suci Leo XIV secara rasmi mengisytiharkan Tahun Jubli Khas khusus untuk St Francis dari Assisi, menandakan ulang tahun ke-800 kematian (transitus) santo tersebut. Tahun ini, yang berlangsung hingga 10 Jan 2027, mengajak umat beriman untuk merenungkan tentang keamanan, persaudaraan, dan pertaubatan ekologi, serta menawarkan indulgensia plenaria atau pun pengampunan penuh bagi mereka yang melawat tapak ziarah Fransiskan yang ditetapkan mengikut syarat-syarat biasa.
Di Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Uskup Agung John Wong secara rasmi melancarkan Tahun Jubli Fransiskan dalam Misa yang dirayakan pada 22 Mac 2026. Beberapa tempat telah ditetapkan untuk ziarah, termasuk Hutan Laudato Si’, Pusat Retret Pace Bene, dua gereja kecil di bawah Paroki Ranau, dan Pusat Retret La Foresta.
Sebagai permulaan musim ziarah, 130 penziarah Fransiskan membuat pendakian pertama ke Hutan Laudato Si’ pada 28 Mac 2026. Paroki Limbahau secara rasmi membuka tapak tersebut untuk ziarah dengan Misa Kudus yang menekankan seruan untuk menjaga ciptaan.
Hutan tersebut, yang dijaga secara kolaboratif oleh Paroki Limbahau, Komisi Keadilan Ciptaan, dan Chapel St Anthony, Bolotikon, menjadi tempat retret sejak dibuka secara rasmi pada tahun 2025. Hanya boleh diakses dengan berjalan kaki atau kereta pacuan empat roda, para penziarah perlu melalui jalan tanah merah sepanjang 1.3 kilometer untuk sampai ke tapak tersebut. Setiba di sana, mereka akan berkumpul di ‘gereja’ terbuka di bawah naungan pepohonan hijau, sebuah bumbung kayu menaungi altar tempat paderi memimpin Misa, dan sebuah patung St Francis setinggi 12 kaki.
Baca berita penuh dalam Catholic Sabah Vol 69 No 8 bertarikh Apr 19 2026.











































