
Oleh Clarence Dol
RANAU – ‘Tragedi yang membawa kesatuan’ adalah ungkapan yang dapat dirumuskan terhadap peristiwa pahit yang berlaku 10 tahun lalu iaitu pada 5 Jun 2015 apabila gempa bumi sekuat 6.0 skala richter melanda daerah ini.
Pada ketika itu, penduduk juga dikejutkan apabila banyak bangunan-bangunan seperti pejabat-pejabat dan kedai-kedai yang mengalami retak, kerosakan atau musnah.
Ekoran kejadian itu pula, Ranau telah mengalami gangguan bekalan air yang teruk sehinggakan seluruh masyarakat mengalami masalah kekurangan air minuman.
Mantan Paderi Paroki St Peter Claver Ranau, Msgr Nicholas Stephen berkata, 10 tahun telah berlalu tetapi tarikh 5 Jun 2015 tidak dapat beliau lupakan kerana gempa bumi yang berlaku.
Pada hari itu, katanya, peristiwa itu telah mengubah bukan sahaja sejarah Ranau tetapi juga mengubah pemikiran dan juga pendekatan umat.
“Saya masih ingat pada waktu itu buat pertama kalinya tiada perbezaan antara agama dan juga bangsa dan keturunan. Buat pertama kalinya semua bersatu untuk memberi bantuan terutama air.
“Ketika itu, yang datang untuk meminta bantuan air di gereja bukan sahaja orang-orang Kristian, malahan mereka yang datang dari pelbagai latar belakang bangsa dan keturunan,” katanya.
Antara mereka adalah orang-orang berbangsa Suluk, Pakistan dan dari agama-agama lain, di mana mereka tidak lagi melihat sama ada berlainan agama dan warganegara, tetapi semua menjadi satu.
“Di situlah saya melihat kesatuan yang nyata yang betul-betul memberi impak kepada Ranau dan juga kepada saya sendiri.
“Saya sebagai Paderi Paroki di sana ketika itu telah memberikan banyak motivasi dan inspirasi, khasnya kepada umat-umat di St Peter Claver Ranau untuk bekerjasama tanpa mengira bangsa, agama dan aliran politik.
“Walaupun ada pihak yang mempolitikkan apa yang berlaku ketika itu, tetapi bagi saya, apa yang penting ialah kita menolong sesama manusia dan nilai kemanusiaan pada ketika itu sangat-sangat nyata kelihatan,” katanya.
“Sehingga sekarang, masih lagi saya terasa yang bila mana Ranau menjadi tumpuan bagi seluruh Malaysia malahan di mata dunia,” katanya.
Menurut Msgr Nick, air yang diterima pada waktu itu bukan sahaja dari umat-umat Kristian tetapi juga daripada pelbagai agama, “seperti dari saudara-saudara kita yang Muslim, Buddhist, Hindu, dan juga NGO-NGO.
“Saya lihat pertama kalinya semua pihak ini bersatu dan saya melihat ini satu ‘blessing in disguise’ sebab sebenarnya kita orang-orang Sabah Malaysia boleh bersatu tanpa mengira bangsa, keturunan, agama mahupun status kewarganegaraan.
“Kita boleh bersatu dalam membantu orang-orang yang susah, miskin dan yang menderita pada saat itu, dan pada saat ini juga,” katanya.
”Inilah satu berkat yang dapat diperolehi dalam hal saling membantu. Orang-orang susah membantu orang susah, dan orang senang pun turut membantu mereka yang susah,” kata Msgr Nicholas.
Pada 5 Jun 2025, upacara peringatan ke-10 tahun kejadian gempa bumi di Kundasang diadakan di Tugu Peringatan Kiau Gap View, Timpohon Gate, Taman Kinabalu.
Antara lain yang hadir dalam upacara itu ialah Uskup Agung John Wong dan beberapa orang paderi.