Virtual Serve and Preparation Camp dianjurkan secara maya oleh Catholic Student Group – untuk melayani sesama
Oleh Kelly Celestine Liong
20 Okt 2021
KOTA KINABALU – Catholic Student Group – Untuk Melayani Sesama (CSG-UMS) mengadakan program “Virtual Serve and Preparation Camp (VSPC)” yang berlangsung selama empat hari iaitu pada 24 dan 25 Sept dan 2 – 3 Okt 2021 lalu. Program yang diadakan setiap tahun oleh CSG-UMS ini adalah untuk mempersiapkan para belia CSG dalam meneruskan pelayanan mereka di dalam komuniti tersebut. Namun, program yang diadakan kali ini lebih memfokuskan kepada persiapan pelayanan secara alam maya atau turut diistilahkan sebagai pelayanan dalam norma baharu disebabkan oleh kekangan yang masih dihadapi pada ketika ini dalam menganjurkan aktiviti secara bersemuka.
Dalam sesi Service of Love, Anna Teresa Peter Amandus yang pernah melayani sebagai Koordinator Belia selama 10 tahun dalam Youth Commission, mengingatkan para peserta bahawa kehidupan di dunia merupakan suatu misi di mana setiap kita diperlukan dan dipanggil untuk menjadi pelayan bagi sesama. “He (Jesus) knows your talents and He will give you the mission that is right for you”, ujar beliau ketika mengongsikan pengalaman pelayanannya.
Beliau menekankan kepentingan untuk sentiasa menyertakan cinta kasih dalam setiap pelayanan yang diberi. Manakala, dalam sesi Kingdom of God in Digital Age, manfaat dan penggunaan teknologi dalam pewartaan Injil dan kesaksian iman pada masa kini telah dikongsikan oleh Dennis Patrick yang merupakan pelayan aktif dalam Archdiocese of Youth Commission.
Beliau memetik ayat daripada Bapa Suci Fransiskus yang mengungkapkan bahawa laman sosial merupakan anugerah dari Tuhan, jika digunakan dengan baik. Sesi tersebut menginspirasi para peserta melalui perkongsian daripada beliau tentang bagaimana kita boleh menjadi berkat kepada orang lain melalui penggunaan teknologi.
Para peserta diteguhkan lagi melalui sesi Dari Hatiku ke Hatimu dan tayangan video ‘Sharing is An Act of Love’ di mana pelbagai perkongsian telah diberikan oleh para belia CSG khususnya melalui pengalaman pelayanan mereka di kampus termasuk pelayanan yang dilakukan secara online.
Video Affirmation yang diselitkan semasa program ini pula menampilkan kompilasi ucapan ringkas daripada para penganjur yang bertujuan untuk memberi peneguhan dan sokongan kepada para peserta yang akan terus melayani bersama CSG-UMS selepas ini.
Sesi ‘Whatsapp with Jesus’ diadakan pada hari terakhir program VSPC ini telah membawa para peserta masuk ke dalam suasana renungan di mana semua peserta diberi kesempatan untuk berdialog bersama Yesus secara peribadi tentang keadaan diri masing-masing serta pelayanan norma baharu yang dialami.
Acara pengutusan bagi semua peserta di penghujung program disampaikan oleh Sr Terecia Loukang, fsic, yang telah memimpin doa pengutusan dan memberikan peneguhan kepada para peserta dengan mengingatkan bahawa kita diutus untuk sesuatu yang sangat penting.
Program ini diharapkan dapat membantu dan menginspirasi semua peserta agar kekal teguh dalam iman pelayanan mereka dan menjadi terang serta saluran cinta kasih Yesus terutama sekali dalam norma baharu ini.
Perkongsian daripada Peserta Program
VSPC kali ini mengingatkan saya bahawa Tuhan sungguh berkarya dalam apa juga situasi yang kita alami terutamanya dalam pelayanan semasa pandemik ini. Program ini juga merupakan satu panggilan untuk saya terus melayani sebagai belia Katolik di kampus bersama rakan CSG yang lain. Melalui sesi Affirmation, saya sedar bahawa dalam pelayanan, kita haruslah berjalan bersama dan saling memberi semangat kepada sesama. – Frency Fenney Dannis
Sepanjang VSPC 2021 ini, sedikit sebanyak saya dapat belajar bagaimana pelayanan dalam Kristus. Pelayanan ini bukan sahaja berdasarkan kebolehan yang kita ada tetapi juga bagaimana kita membawa Kristus dalam diri kita kepada orang lain melalui kasih itu sendiri. Saya bersyukur sebab melalui VSPC, saya diteguhkan secara peribadi untuk terus melayani kerana badai cabaran itu memang harus kita tempuhi agar kita menjadi kuat. Saya percaya Tuhan berjalan bersama-sama saya dan kawan-kawan yang lain semasa suka dan duka. – Bannesa Allen