Oleh Macshamus Bilcher (SOCCOM)
SANDAKAN – Seramai 60 peserta telah menyertai bengkel nyanyian koir dan mazmur yang dikendalikan oleh Persatuan Jururawat Katolik Sandakan bersama Majlis Pastoral Paroki di Katedral St Mary Sandakan pada 19 dan 20 Jul.
Program yang dilaksanakan selama dua hari itu jelas telah memberikan ilmu dan pengalaman baharu khasnya kepada semua peserta yang menyertai bengkel nyanyian koir dan mazmur itu.
Menerusi temu bual yang diadakan bersama dengan peserta bengkel, Frasier berkata dia berasa gembira dan bersukacita kerana mendapat peluang untuk hadir dalam bengkel itu. Dia juga berpeluang untuk mencipta sahutan mazmur bersama sebagai satu kumpulan dan mempelajari lagu–lagu iringan Misa Kudus khususnya dalam Bahasa Latin. Di samping itu, Frasier juga mempelajari peraturan yang ada apabila melayani dalam pelayanan koir gereja.
Dalam temubual yang sama, Cecilia turut mengungkapkan rasa sukacita atas peluang dapat menyertai bengkel itu. Menurut belia yang berumur 19 tahun itu, dia dapat meningkatkan keyakinan dirinya dalam bidang nyanyian koir. Sepanjang bengkel dijalankan, dia juga dapat melihat ramai rakannya yang berbakat dalam bidang nyanyian dan mazmur. Selain itu, dia juga dapat memperluaskan lagi kemahiran menyanyi melalui pelayanan dalam koir.
Harapan oleh semua peserta ialah agar lebih ramai umat yang terbuka hati untuk menyertai bengkel nyanyian koir di masa akan datang. Program seperti itu bukan sahaja dapat memberikan ilmu pengetahuan kepada semua yang menyertainya, malahan juga dapat menjadi dorongan kepada semua umat untuk masuk dalam pelayanan nyanyian koir. Bengkel ini berakhir pada hari Sabtu jam 4.15 petang. – dospo