Sesi bergambar dengan para Lembaga Pengarah (LP), Ahli Jawatan Pelayan (AJP) dan peserta Ziarah bersama Fr Lazarus Uhin di Gereja

Oleh Marion Maydona Henry & Joyce Cyrille Ann Yali

Mar 16 2023

KENINGAU – ‘’Mintalah, maka akan diberikan kepadamu; carilah, maka kamu akan mendapat; ketuklah, maka pintu akan dibukakan bagimu’’ — TB Matius 7:7-8 demikianlah tema program Ziarah buat julung kalinya dianjurkan Catholic Student Group – Untuk Melayani Sesama (CSG-UMS).

Ziarah ialah suatu program baharu di dalam takwim tahunan CSG-UMS yang dianjurkan pada 29-30 Jan 2023 yang berlangsung selama dua hari satu malam.

Program Ziarah merupakan salah satu program yang telah dipilih semasa Planning Camp yang lalu bagi sesi 2022/2023.

Program dilaksanakan oleh empat orang Lembaga Pengarah daripada CSG-UMS dengan jumlah keseluruhan 25 orang termasuk pelajar kampus UMS, alumni UMS, serta volunteer.

Program Ziarah bertujuan untuk membantu pelajar CSG-UMS untuk mendalami iman Katolik melalui aktiviti yang membangunkan relasi CSG-UMS bersama komuniti luar dan membantu para pelajar CSG UMS yang mengalami kekeringan rohani disebabkan kesibukan aktiviti di kampus dan di luar pelayanan gereja.

Tambahan pula, program itu juga membantu para pelajar untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara semua peserta Ziarah CSG-UMS.

Program Ziarah bukan hanya untuk berkunjung ke Nulu Sosopon tetapi diisi dengan pelbagai sesi sesuai dengan pertumbuhan iman Katolik para peserta.

Pada hari pertama, peserta didedahkan dengan pengenalan tempat melalui Do’s and Dont’s dimana peraturan dan larangan dimaklumkan kepada peserta untuk sentiasa ingat dan patuh akan arahan yang ditetapkan.

Sesi Praise and Worship yang dipimpin oleh AJP kerohanian dan AJP muzik dan teknikal adalah cara untuk mengisi kekosongan dan kekeringan hati para peserta dan membantu mendalami lagu.

Pengenalan progam Ziarah disampaikan oleh Lembaga Pengarah diikuti dengan sesi soal jawab serta perkongsian mengenai Ziarah kepada peserta.

Pihak Nulu Sosopon turut memberikan perkongsian mengenai statue di Nulu Sosopon melalui tiga sesi iaitu Statue 1: Keluarga Kudus, Statue 2: Bonda Maria, dan Statue 3: Santo Monsignor August Wachter.

Holy Hour yang dipimpin oleh Seminarian Nelbert Peter membawa peserta merenung dan bertenang untuk mengisi kekeringan rohani.

Perarakan Lilin ke Statue Bonda Maria dan intensi doa turut dilakukan bagi memberikan ruang dan peluang kepada peserta untuk masuk ke dalam keheningan untuk merenungkan intensi doa mereka.

Pada hari kedua pula, perarakan ke Menara Salib telah disertai oleh para peserta, AJP, volunteer dan alumni di mana perarakan ini dilakukan secara bersama untuk naik ke Menara Salib dan dipimpin dengan doa khas.

Menara Salib tersebut bukan sekadar suatu destinasi sahaja namun untuk membawa peserta merenung serta sedar mengenai pengorbanan dan penderitaan Yesus Kristus demi penyelamatan dan penebusan dosa kita semua.

Program Ziarah membantu semua yang terlibat dalam program ini untuk mengisi masa lapang peserta bagi menyahut panggilan Tuhan.

Tidak dilupakan juga kepada pihak Nulu Sosopon yang turut terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam program Ziarah kerana memberi peluang dan kebenaran untuk melaksanakan program ini.