Dewan Serbaguna Gereja St Paul Ulu Dusun yang rosak ditiup angin kencang pada 5 Nov
Oleh Linda Edward
10 Nov 2020
SANDAKAN – Dewan Serbaguna Gereja St Paul Ulu Dusun yang mengalami kerosakan teruk pada dinding dan tingkap bangunannya akibat angin kencang pada 5 Nov lalu akan diperbaiki dalam masa terdekat.
Jamih Lugu, Pengerusi Komiti Pastoral Umat Katolik (KPUK), Gereja Ulu Dusun, berkata satu mesyuarat bersama Uskup Julius telah diadakan pada hari ini di Katedral St Mary’s untuk memutuskan langkah seterusnya.
“Mesyuarat hari ini memutuskan bahawa dewan tersebut akan diperbaiki dalam minggu terdekat. Sebelum itu kami akan mengeluarkan pelawaan sebutharga kepada kontraktor tempatan.
“Peruntukan untuk pembaikan telah pun cukup dan mesyuarat juga memutuskan untuk menutup penerimaan derma untuk tujuan ini,” kata Jamih.
Menurut tinjauan cuaca jangka panjang oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, sepanjang tempoh monsun timur laut yang bermula pada Nov 2020, negara lebih cenderung menerima tiupan angin yang lebih kencang dan berterusan dari arah timur laut yang dijangka akan berakhir sekitar Mac 2021.
Dewan Serbaguna Gereja St Paul itu telah mulai digunakan pada tahun 2014 di mana Uskup Julius Gitom telah memberkati dan merasmikannya pada 20 April 2014.
Dianggarkan sebanyak RM20,000 diperlukan untuk memperbaiki dewan tersebut.
Terdapat lebih daripada 200 umat Katolik yang menetap di kawasan Ulu Dusun belum termasuk umat yang menetap di kawasan pedalaman estet. Dewan tersebut boleh memuatkan seramai 300-400 orang dalam satu-satu masa.