
Oleh Rowena Anne Rodney
TANGKAK – Kem Rohani Belia Katolik (KRBK) 2026 yang diadakan pada 14 Mac, mengumpulkan seramai 60 belia dari lima paroki di Melaka dan Johor Utara iaitu Gereja Our Lady of Guadalupe, Chapel Corpus Christi Terendak Camp, Rumah Besar Katolik Tok Batin, St Andrew Muar dan St Henry Batu Pahat.
Matlamat utama KRBK itu adalah membina persahabatan antara belia di setiap paroki dan memperkukuhkan iman kepada Yesus.
Program bermula dengan pendaftaran dan sarapan pagi. Selepas itu, diadakan nyanyian pujian serta doa pembukaan.
Sesi ice breaking diadakan agar belia dapat mengenali antara satu sama lain sebelum sesi bermula.
Dalam program itu, Sr Maria Magdalena Kopong, FSIC, menyampaikan tiga sesi.
Sesi yang pertama bertajuk “Dikasihi Tanpa Syarat: Identiti kita dalam Kristus.”
Sesi ini mengajak para belia untuk memahami kasih Tuhan adalah anugerah daripada Bapa melalui Yesus dan menyedarkan para belia mengenai identiti sebenar mereka sebagai anak-anak Tuhan.
Dalam sesi kedua, “Kasih yang Taat: Tinggal dan Berbuah”, mengajak para belia memahami hubungan antara kasih dan ketaatan.
Bukan itu sahaja, para belia juga diberikan kesedaran bahawa kasih sejati akan menghasilkan buah serta mengaitkan doa dan Ekaristi dengan kekuatan untuk kekal dalam Yesus.
Sesi yang seterusnya ialah sesi berdoa. Belia dibawa ke Gereja dan mereka diminta menulis tiga permohonan yang kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah bekas.
Objektif bagi sesi ini ialah membimbing belia agar bergantung kepada Tuhan dan sentiasa menyedari bahawa Tuhan itu ‘hidup’ serta selalu hadir di tengah-tengah mereka.
Melalui pengalaman sesi-sesi dalam program itu, para belia diajak untuk menyedari bahawa Tuhan sentiasa hadir dan dekat, mendengar setiap permohonan serta memahami isi hati mereka.
Dengan kesedaran ini, para belia didorong untuk menjadikan doa sebagai amalan harian dan sumber kekuatan, agar mereka mampu menghadapi kehidupan dengan iman yang teguh serta hati yang penuh harapan.
Kem Rohani Belia Katolik ini diakhiri dengan pujian dan penyembahan serta sesi bergambar.
Melalui maklum balas dari peserta, mereka mengharapkan agar program seumpama ini dapat diadakan secara berkala. – Herald Malaysia














































