Oleh Herald Malaysia
MIRI – Baru-baru ini, sekumpulan belia di Keuskupan Miri sanggup berhimpun selama empat minggu bersama Miri Diocesan Youth Apostolate (MiDYA) kerana ingin mencari jawapan kepada persoalan: “Siapakah saya? “Apa tujuan saya di dunia?” “Apakah yang Tuhan ingin saya lakukan?”
Bertempat di Gereja Mater Dei, Lutong, perhimpunan itu mengambil tema dari Injil Matius 28:19, “Oleh itu pergilah, jadikan semua bangsa murid-Ku. Baptislah mereka dengan nama Bapa, Anak dan Roh Kudus.”
Pada minggu pertama, program itu memberi tumpuan kepada Pembentukan Insan. Para peserta dibimbing untuk meneroka nilai-nilai yang terletak pada inti menjadi cinta manusia, empati dan tanggungjawab. Ia bukan hanya tentang pembelajaran daripada orang lain, tetapi juga belajar memahami diri mereka dan pentingnya kehadiran belia Katolik dalam komuniti atau orang-orang di sekeliling mereka.
Minggu seterusnya ialah Pembentukan Rohani yang diketuai oleh Haggai Malaysia. Haggai Malaysia membawa penceramah yang ‘menggerakkan’ dan ‘membangkitkan’ semangat para peserta.
Mereka diingatkan tentang kepentingan pelayanan, memimpin dan terlibat aktif dalam paroki serta komuniti.
Pada minggu ketiga, para peserta didedahkan dengan “Hidup dalam Komuniti” di mana mereka diajak untuk keluar dari zon selesa dan tinggal bersama keluarga angkat. Hidup dengan keluarga angkat mengajar mereka kerendahan hati, rasa syukur, hidup dalam suasana doa dan pelayanan.
Mereka mengalami keindahan memberi dan menerima cinta daripada orang yang tidak mereka kenali, yang akhirnya menjadi sahabat dan keluarga mereka.
Pada minggu terakhir, para belia menjalani program pembentukan rohani. Mereka didedahkan dengan ceramah panggilan yang mendalam. Lawatan ke Carmelite dan biara membuka mata para belia kepada kehidupan religius yang tenang tetapi kuat dalam menjawab panggilan Tuhan.
Ramai di antara belia yang tersentuh malah mengalirkan air mata kerana mungkin buat kali pertama mereka benar-benar mendengar suara Tuhan dalam diri mereka.
Pada Malam Solidariti yang dirancang dan dijalankan sendiri oleh para peserta, merupakan perayaan yang indah serta berbentuk ‘luahan’ pengalaman daripada apa yang mereka alami dalam pembentukan selama empat minggu itu.
Malam Solidariti itu bukanlah majlis perpisahan sebaliknya janji dan tekad untuk membawa pengalaman rohani mereka untuk dipraktikkan ke dalam kehidupan.
Midya #6 membawa bersama 105 peserta bersama paderi, religius dan penceramah mengenal dan mengalami pertemuan indah dengan Tuhan.
Ketika peserta melangkah keluar dari Midya, mereka tahu satu perkara yang pasti iaitu mereka tidak lagi sama seperti ketika pertama kali tiba! – Herald Malaysia