Kongregasi Poor Clare Sisters di Keuskupan Keningau

Oleh Didiroy Joneh, KOMSOS Keuskupan Keningau

Aug 26 2020

Sempena Ulang Tahun Pertama Poor Clare Sisters di Keuskupan Keningau

 

TAHUN ini genap satu tahun kehadiran pelayanan kongregasi bersifat kontemplatif, The Poor Clare Sisters, di Keuskupan Keningau. Katedral St Francis Xavier telah menyambut ulang tahun pertama kongregasi mereka di Rumah Retreat Keuskupan Keningau, Tatal pada 10-11 Ogos yang lalu.

Pada hari pertama yang juga bersempena dengan hari memperingati kematian pengasas kongregasi, St Clare, satu sesi ramah mesra dan berkenalan dengan semua sister Poor Clare telah diadakan dan terbuka kepada semua umat terutamanya para belia. Ini diikuti dengan Misa Kudus dan Majlis Kesyukuran pada hari kedua yang bersempena dengan Pesta Transitus Santa Clara dari Assisi.

Misa Kudus dipimpin oleh YM Uskup Datuk Cornelius Piong pada waktu itu, dia berpesan bahawa kita perlu hidup dalam “Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan” seperti mana yang diajar oleh Yesus Kristus.

“Kita bersyukur di Keuskupan Keningau kita mempunyai pelbagai komuniti, komiti dan religius, kita boleh dan dimampukan untuk melayani dalam kesatuan dengan Yesus Kristus,” kata Uskup.

Sempena sambutan tahun pertama KOMSOS sempat menemubual kongregasi Poor Clare Sisters dan pengalaman satu tahun mereka di Keuskupan Keningau.

 

KOMSOS: Apakah misi pelayanan Poor Clare Sisters di Keuskupan Keningau? Bagaimana ia menyokong visi dan misi Keuskupan?

Misi kami adalah melalui kehidupan kontemplasi, di mana pertama-tama ini adalah merupakan jantung Gereja. Tidak kelihatan namun membekalkan makanan rohani dan tenaga bagi Gereja. Kami adalah satu kerasulan doa terutamanya untuk Keuskupan ini di mana kami berada, kami memberi sokongan doa dalam segala aspek terutamanya dalam menyokong Visi dan Misi Keuskupan itu sendri. Kami juga menerima kehadiran umat, mendengar masalah yang dikongsi, memberi sokongan dan kaunseling serta menerima intensi mereka untuk didoakan.

KOMSOS: Apakah perasaan sudah satu tahun melayani di Keningau?

Setelah melayani selama hampir setahun, para sister merasa yakin akan ketentuan Tuhan, kehendak dan rancanganNya dalam panggilan istimewa ini, untuk menjadi pengasas dan pemula misi dan projek biara (KKK). Pemeliharaan Tuhan sangat luar biasa melalui instrumen anggota Gereja, orang awam dan para religius.

KOMSOS: Apakah cabaran sepanjang setahun melayani? Bagaimana kamu mengatasi cabaran-cabaran itu?

Antara cabarannya adalah perbezaan budaya sama ada dalam mana-mana perayaan terutamanya bagi sister dari Filipina. Selain itu penyesuaian diri juga perlu kerana di Filipina kami merupakan komuniti yang besar dan apabila berada di keuskupan ini kami perlu belajar sesuaikan diri sebagai sebuah komuniti yang kecil dan hanya mempunyai lima anggota sahaja.

Kami dapat mengatasi semua cabaran berkat rezeki yang dihulur dari Tuhan melalui pelbagai ungkapan kebaikan oleh teman-teman yang melawat kami. Doa, pengorbanan, penyangkalan diri yang diberikan kepada Tuhan untuk sokongan rohani kepada keuskupan tidak dapat diukur secara kuantitatif atau dinilai dengan kelihatan.

KOMSOS: Apakah kenangan indah melayani di Keningau?

Keramahan Gereja yang dipimpin oleh Uskup, para paderi, komuniti-komuniti FSIC sister, ISKB yang membuktikan bahawa kami sesungguhnya mempunyai keluarga di Keningau. Umat awam juga senantiasa mengalu-alukan. Kami juga turut bersyukur kerana dapat merayakan Ekaristi setiap hari dan meluangkan waktu menyembah Tuhan dalam Sakramen Mahakudus.

KOMSOS: Berapakah jumlah sister Poor Clare di Keningau?

Kongregasi kami adalah yang pertama di Sabah dan Malaysia amnya. Hanya lima orang sister berada di Rumah Retret Keuskupan Keningau sekarang. Pada awalnya enam orang sister sukarela memulakan komuniti ini akan tetapi salah seorang daripada mereka masih mempunyai tanggungjawab di Filipina yang akan tamat tidak lama lagi, Sr Joanna Florence Rebuta, OSC (Philippines Supperior), dan Sr Chiara Henritta Francis, OSC (Malaysia) sedang memangku tempatnya buat masa ini.

KOMSOS: Di manakah lain-lain lokasi pertapaan kongregasi sister Poor Clare di Malaysia dan di dunia?

Hanya ada satu pertapaan di Malaysia buat masa ini iaitu di sini (Keningau). Manakala terdapat lebih kurang 4,000 pertapaan dengan 38,000 sister di seluruh dunia, menurut statistik pada tahun 2016.

KOMSOS: Apa perancangan kongregasi dalam tahun-tahun hadapan?

Rancangan kami untuk masa depan adalah yang pertama sekali untuk mempromosikan panggilan dan membuka program aspirant; mula membina sebuah biara sederhana yang dapat menampung sebuah komuniti yang sedang berkembang seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan untuk sebuah biara yang telah didirikan.

Apabila bilangan sister warga Malaysia mencapai bilangan kanonikal iaitu tujuh anggota, biara pusat di Filipina memberikan autonomi (kemerdekaan) mutlak kepada komuniti warga Malaysia untuk menguruskan biara di tempat asal dan anggota warga Filipina boleh kembali ke Filipina.

KOMSOS: Apakah harapan dalam pelayanan ini?

Harapan kami adalah untuk memuji Tuhan dengan cara hidup kami. Bagaimana kami dapat menyamakan hubungan seperti ini? Contohnya peranan teknologi dan media sosial dalam generasi masa kini begitu membimbangkan. Apabila umat atau belia amnya mempunyai masalah, mereka lebih cenderung memberitahu di media-media sosial, menolak untuk menyerahkan kepada Tuhan dan berdoa memohon pengampunan serta jalan penyelesaian.

Bagi para kontemplatif, biara kami sentiasa terbuka dan kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran umat yang mempunyai permasalahan dalam hidup. Kami akan sentiasa membantu dari aspek kaunseling, permohonan serta intensi doa.

 

Perkongsian Sr M Chiara of The Blessed Trinity, OSC

Sr M Chiara, OSC

Saya sangat bersyukur kepada Tuhan Yesus kerana Ordo Santa Clara ini diterima masuk di Keuskupan Keningau dengan kemurahan hati Bapa Uskup Cornelius dan para paderi. Saya juga sangat bersyukur kerana sebagai warga tempatan, saya dapat pulang melayani di Negara sendiri, melayani sesama bangsa dan kaum.

Ini merupakan kerinduan saya agar dapat kembali ke tanah air untuk berkhidmat dan membawa Santa Clara untuk diperkenalkan kepada umat dimana saya melayani.

Hidup Santa Clara adalah hidup sederhana dalam kemiskinan, namun memiliki semangat doa yang sangat besar dan mendalam kepada Tuhan dan Gereja. Inilah yang membuatkan saya jatuh hati kepada Ordo ini, kerinduan saya sangat mendalam untuk menjadi pendoa bagi Gereja dan dunia kerana semakin sedikit orang menyedari kepentingan cara hidup menjadi pendoa di mana dunia dan Gereja sangat-sangat memerlukan Ordo pendoa.

Di dalam menjalani hidup di dalam biara ini tidak membuatkan saya mahupun para sister yang lain terpisah dengan Gereja malah kami lebih merasa dekat dengan mereka lewat doa-doa yang kami jalani setiap hari.

Khususnya masa pandemik ini, kami merasakan doa itu sangat-sangat diperlukan agar dunia semakin menyedari kesilapan dan kelalaian yang telah dilakukan. Juga di pihak yang lain kami berdoa agar Gereja semakin datang kepada Tuhan menyedari bahawa di luar Tuhan kita tidak dapat berbuat apa-apa (Yoh 15: 5b) kerana itu kita tidak perlu cepat berputus-asa memohonkan pertolongan bagi meredahkan penularan COVID-19 kerana hanya kuasa Tuhan sahaja dapat menyelamatkan dunia dan menyembuhkan semua mangsa COVID-19.

Kita berdoa juga untuk para doktor agar mereka akan menemukan ubat bagi menyembuhkan mangsa COVID-19. Di dalam masa pandemik ini Gereja semakin menyedari apa erti doa dan ramai yang mengatakan sangat-sangat rindu untuk pergi ke Gereja untuk menghadiri Misa dan menyambut Tubuh Kristus.

Di sebalik keburukan penularan COVID-19 ini, ada juga kebaikannya di mana ia membawa orang semakin mencari Tuhan, semakin menjadi pendoa. Tugas sebagai pendoa bukanlah senang kerana ini memerlukan banyak pengorbanan yang besar untuk pertobatan dunia, namun kami senantiasa merasa sukacita dan damai kerana Tuhan selalu menyertai dan menopang tanganNya kepada kami.

Seperti kata Tuhan Yesus ‘Tinggallah di dalam Aku dan Aku di dalam kamu. Sama seperti ranting tidak dapat berbuah dari dirinya sendiri, kalau ia tidak tinggal pada pokok anggur, demikian juga kamu tidak berbuah, jikalau tidak tinggal di dalam Aku’ (Yoh 15: 4).

Saya juga mahu bersyukur kepada Tuhan kerana pada Pesta Santa Clara (10-11 Ogos 2020), ramai umat yang tersentuh dengan cara hidup Santa Clara, semoga Santa Clara akan terus memberikan inspirasi kepada Gereja di Keuskupan ini khususnya untuk semakin mengikuti jejak Santa Clara untuk menjadi alat saluran kasih, damai, pengampunan dan sukacita yang dunia perlukan pada masa ini dan sampai akhir zaman.