
Oleh Styvester Bresli
KEM TERENDAK, Melaka – Chapel Corpus Christi Terendak Camp (CCCTC) telah mengadakan Misa Kudus Prapaskah keempat sekali gus merayakan Hari Ulangtahun Tentera Darat Malaysia Ke-93.
Misa Kudus itu diadakan sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan atas perlindungan serta pengorbanan anggota Tentera Darat Malaysia dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.
Misa Kudus dipimpin oleh Fr Moses Rayappan. Misa dihadiri oleh anggota tentera bertugas di sekitar Kem Terendak bersama umat Katolik dari komuniti Chapel Corpus Christi Kem Terendak.
Fr Moses mengajak umat untuk terus memperbaharui iman melalui doa, pertobatan, dan pengorbanan.
Pada hari minggu Prapaskah keempat juga diadakan Upacara Tobat Kedua bagi para calon baptis.
Wakil Pegawai Agama Kristian iaitu Mejar Chester dalam ucapannya, menekankan kepentingan nilai rohani dan perpaduan dalam kalangan anggota tentera.
Dalam amanatnya, Fr Moses berharap agar para anggota tentera sentiasa berpegang teguh kepada iman, nilai disiplin serta semangat pelayanan dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada agama, bangsa, dan negara.
Sebagai tanda penghargaan, pihak tentera telah menyampaikan cenderamata kepada Fr Moses atas kesudian beliau memimpin Misa Kudus pada hari tersebut.
Selepas Misa Kudus, semua anggota tentera dan umat yang hadir telah dijemput untuk menikmati jamuan makan bersama. – Herald Malaysia












































