Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun di sidang media Perkembangan Semasa COVID-19 Negeri Sabah
Oleh Suraidah Roslan
Mar 2 2021
KOTA KINABALU: Pencapaian imuniti berkelompok di Sabah akan diperoleh setelah 70 hingga 90 peratus penduduk di negeri ini menerima suntikan vaksinasi.
Berdasarkan jadual suntikan imunisasi Covid-19 dijangka berakhir pada Feb 2022 dan diharapkan liputan imunisasi Covid-19 mencapai lebih 95 peratus.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagaimanapun pencapaian immuniti berkelompok adalah bergantung kepada pelbagai faktor.
Ia termasuk mutasi virus, kesediaan masyarakat menerima vaksin dan kepatuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik.
Ditanya tentang adakah Sabah hanya menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech, beliau berkata, setakat 16 Feb, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) telah membuat akses bekalan vaksin daripada lima syarikat pengeluar vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.
Bagaimanapun, untuk Fasa 1, Sabah akan menggunakan vaksin daripada Pfizer BioNTech, manakala vaksin yang akan digunakan untuk Fasa 2 dan Fasa 3 belum ditetapkan lagi. Pengagihan bekalan vaksin ke negeri-negeri seluruh Malaysia adalah di bawah tanggungjawab JKJAV.
Mengenai bilangan individu yang akan menerima vaksin semasa pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri pada Khamis, Masidi berkata, seramai 60 orang penerima akan diberi suntikan vaksinasi semasa hari tersebut (4 Mac).
Beliau berkata, setelah suntikan diberikan, pemerhatian gejala akan dilakukan bagi memantau keadaan penerima. Aktiviti vaksinasi pada Khamis akan berterusan selepas majlis tersebut sehingga ke sebelah petang.
Menyentuh tentang pemberian vaksin, Masidi berkata, selepas menerima suntikan, penerima vaksin akan dibuat pemerhatian selama 30 minit di pusat pemberian vaksin untuk memastikan tiada kesan sampingan dihadapi setelah menerima suntikan.
“Pemantauan kesan sampingan akan diteruskan secara enhanced surveillance di mana penerima vaksin akan diberi notifikasi dan peringatan berjadual melalui aplikasi MySejahtera untuk melaporkan sebarang kesan sampingan yang dialami.
“Pelaporan kesan sampingan juga boleh dibuat kepada fasiliti kesihatan yang berdekatan atau dengan melayari portal ConSERF, Bahagian Regulatory Farmasi Negara (NPRA) di laman www.npra.gov.my,” ujarnya.
Ditanya jika daerah lain sudah memulakan suntikan vaksin, Masidi berkata, perkara itu akan diumumkan pada hari pelancaran pada Khamis. Namun, biasanya tidak perlu menunggu sehingga pelancaran dilakukan. – Borneo Today