
Herald Malaysia
PAHANG – Tiga perkampungan Orang Asli mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya berhimpun bersama untuk merayakan Trihari Paskah, dalam satu perayaan yang penuh makna dan rahmat.
Perayaan tersebut berlangsung di komuniti Orang Asli suku Jakun di Kampung Kundang, kira-kira 12 kilometer dari Muadzam Shah dan 230 kilometer dari Kuantan.
Sejak sekian lama, kehidupan masyarakat Orang Asli berkait rapat dengan kepercayaan animisme yang menekankan hubungan mendalam dengan alam sekitar.
Namun demikian, perkembangan iman yang berlaku dalam komuniti menunjukkan satu perubahan yang signifikan apabila semakin ramai dalam kalangan mereka mengakui iman kepada Yesus Kristus, menerimaNya sebagai Jalan, Kebenaran dan Hidup (Yohanes 14:6).
Dalam Misa Malam Paskah, seramai 81 orang dewasa menerima Sakramen Inisiasi Kristian, iaitu Pembaptisan, Penguatan dan Ekaristi.
Pada Hari Raya Paskah pula, 41 orang kanak-kanak dibaptis.
Secara keseluruhan, 122 orang telah menerima sakramen, menandakan pertumbuhan iman yang memberangsangkan dalam komuniti tersebut.
Penerimaan sakramen merupakan hasil daripada persiapan selama sembilan bulan yang bermula sejak Julai 2025.
Sepanjang tempoh tersebut, para calon dibimbing melalui katekesis yang teratur, disertai dengan sokongan berterusan daripada katekis paroki serta umat setempat.
Ramai antara mereka sebelum mengikuti ajaran Gereja denominasi lain, namun melalui proses pembentukan iman, mereka kini memilih untuk menjadi sebahagian daripada Gereja yang Satu, Kudus, Katolik dan Apostolik.
Kesemua sakramen tersebut disempurnakan oleh Fr George Packiasamy, paderi paroki Gereja St Thomas Rasul, Kuantan, yang turut bertanggungjawab secara pastoral ke atas kawasan Kampung Kundang.
Peristiwa itu disambut dengan penuh sukacita oleh seluruh komuniti paroki dan komuniti Orang Asli dari Kampung Batu 3, Rompin serta Kampung Bukit Serok.
Kehadiran mereka bukan sahaja sebagai peserta, tetapi juga sebagai penanggung dan ibu bapa baptis kepada para calon dan kanak-kanak yang dibaptis.
Penyertaan itu memperlihatkan semangat kesatuan yang semakin kukuh dalam kalangan umat Katolik Orang Asli di Pahang.
Walaupun liturgi berlangsung dalam tempoh yang panjang, umat menunjukkan sikap hormat dan perhatian yang tinggi sepanjang perayaan.
Mereka mengikuti setiap bahagian liturgi dengan penuh khusyuk, mencerminkan keterbukaan hati serta kerinduan yang mendalam terhadap kehidupan iman.
Perayaan diakhiri dengan jamuan persaudaraan yang dianjurkan oleh paroki St Thomas pada malam Paskah dan Hari Minggu Paskah. – Herald Malaysia















































