Para peserta bergambar besama Fr Russell Lawrine selepas Misa Kudus
Oleh Nelson Fernandez
Dis 8 2023
DONTOZIDON – “Kita bernyanyi dan memuji Tuhan, seperti kita berdoa dua kali kepada Tuhan” kata Fr Russell Lawrine semasa homilinya dalam Misa Kudus di Gereja St Paul pada 22 Nov 2023 sempena pesta Penaung Koir dan Pemuzik, Santa Cecilia.
Seramai 150 yang hadir dalam Misa itu yang melibatkan koir dan pemuzik dari Gereja St Paul Dontozidon, Our Lady Queen of Peace Kobusak dan St John the Baptist Kopungit. Turut hadir adalah karolers dari KUK Paroki dan wakil dari Gereja Our lady Queen of Peace Kobusak yang melibatkan golongan kanak-kanak dan belia.
Menurut Fr Russell, koir dan pemuzik penting dalam gereja, kerana jika tiada pemuzik atau koir, Misa Kudus jadi sayu dan lemah seperti dalam kesedihan, tetapi dengan adanya koir dan pemuzik Misa Kudus terasa hidup.
“Kita bernyanyi untuk memuji Tuhan. Apabila ahli koir bernyanyi, mereka yang membimbing dan bernyanyi bersama kita, bukan sebagai persembahan atau menghiburkan kita, bukan untuk mendapatkan tempat atau menjadi penghibur dan bersaing antara sesama, tetapi bernyanyi untuk Tuhan,” kata Fr Russell.
Beliau berharap agar ada pelapis dan kumpulan lain menjadi pengganti ahli koir pada masa hadapan.
”Ingatlah apa yang Santa Cecilia korbankan, banyak masa, tenaga dan dirinya sendiri, jadi kita para koir dan pemuzik hendaklah mencontohi pengorbanan besar Santa Cecilia,” tekan paderi itu.
Selesai Misa Kudus, sesi bergambar bersama dengan Fr Russell, ahli koir, pemuzik dan karolers sebagai tanda kenangan. Acara di teruskan dengan jamuan ringkas kepada semua yang hadir di dewan St Paul Dontozidon.