Mesyuarat tahunan Komisi Kateketikal Malaysia (KKM) diadakan secara online 11-12 Ogos

Oleh Dr Steven Selvaraju

14 Ogos 2020

Sebagai respon kepada norma baharu era selepas COVID-19, mesyuarat tahunan Komisi Kateketikal Malaysia (KKM) telah dibuat secara talian menerusi platform Cisco Webex pada 11-12 Ogos dari jam 2-5 petang setiap hari. Pasa asalnya mesyuarat ini dijadualkan diadakan di Kota Kinabalu.

Mesyuarat di talian ini dikendalikan oleh Setiausaha KKM Frederick Empaga (Keuskupan Miri). Mereka yang hadir dalam mesyuarat ini termasuk Uskup Agung Julian Leow, Presiden Episkopal untuk Kateketik, para paderi dan religius yang melayani sebagai pengarah atau ketua Komisi Kateketikal di keuskupan masing-masing, dan perwakilan umat awam yang dijemput.

Pengerusi KKM Fr Nicholas Stephen (Keuskupan Agung Kota Kinabalu) mengalu-alukan kehadiran para anggota mesyuarat dan memaklumkan mesyuarat ini perlu diadakan di talian memandangkan keadaan COVID-19. Walaupun ini bukan cara komunikasi yang terbaik kerana menghalang interaksi peribadi, disebabkan keadaan yang tidak mengizinkan buat masa ini, adalah penting untuk KKM mencari cara kreatif untuk meneruskan perbincangan dan usahanya. 

Uskup agung Leow mengongsikan tiga pandangan penting. Pertama, COVID-19 telah menyebabkan gangguan kepada cara katekesis biasanya dibuat. Cabaran baru sudah wujud, dan para paderi, katekis dan ibubapa harus dipuji atas usaha terbaik mereka untuk membuat adaptasi kepada cara baru menyampaikan dan mengongsikan iman. Di beberapa keuskupan, cabaran-cabaran yang dihadapi adalah lebih besar kerana tidak ada kemudahan internet dan elektrik.  

Kedua, buat masa kini, katekisme bersemuka dan sesi IKD telah ditangguhkan. Kempimpinan Gereja akan terus memantau situasi, mematuhi nasihat pihak berkuasa kesihatan mengenai pembukaan semula kelas-kelas agama. Sementara itu, di beberapa buah keuskupan, para Uskup sudah mula memberi Sakramen Penguatan, dan paroki-paroki sudah mula mengadakan perayaan-perayaan liturgi untuk penerimaan Sakramen Inisiasi untuk orang dewasa yang sudah menamatkan proses IKD.  

Ketiga, berkenaan dengan cara kanak-kanak dan kaum muda diberi katekesis – samada sudah tiba masanya untuk membuat evaluasi sistematik mengenai isi kandungan dan metodologi yang sedang digunakan, termasuk peranan para katekis dan ibubapa.

Menurut Uskup Agung “Mungkin, kita harus mencari cara-cara baru untuk mengongsikan iman kepada generasi akan datang… justeru, semua jalan, semua bidang komunikasi perlu dikaji dan tidak bergantung pada kaedah tradisional”.

Maka, Uskup Agung Leow mencadangkan Hari Belajar dianjurkan untuk para anggota KKMm termasuk, para peserta jemputan, teruatama dari kalangan belia, untuk membincang dan memikirkan isu-isu semasa. Hari Belajar ini dirancangkan pada 29 September 2020.

Di antara perkara-perkara penting yang dibincangkan pada hari pertama mesyuarat ini ialah Minggu Kateketikal pada tahun hadapan. Untuk 2021, Minggu Kateketikal jatuh pada 31 Januari 2021, dan tema yang dipilih ialah “Komuniti-komuniti Paroki: Agen-agen Iman, Harapan dan Kasih (Ruj: 1 Kor. 13: 13). Ia mengetengahkan peranan paroki sebagai agen iman, harapan dan kasih di sebalik keraguan, ketakutan dan keresahan akibat dari pandemik Kovid-19.

Tema ini dipilih kerana KKM telah memutuskan Fokus Strategik untuk Katekesis pada tahun 2021 ialah “Komuniti-komuniti Paroki”. Pengaturan akan dibuat agar mesej Minggu Kateketikal 2021 disiapkan dan diterjemahkan, dan dihantar ke paroki pada akhir November 2020.

Di antara perkara-perkara yang dibincangkan pada hari kedua ialah kemungkinan memperkenalkan lebih banyak topik kepada sukatan pelajaran semasa kelas Penguatan. Topik-topik ini tidak akan dimasukkan ke dalam buku teks tetapi akan diberi secara berasingan sebagai topik-topik tambahan untuk katekis pilih dan guna di mana dilihat perlu. Satu tim telah dibentuk untuk meneliti perkara ini. 

Pada hari yang sama, masa telah diluangkan kepada para anggota untuk mengongsikan bagaimana setiap keuskupan cuba menanggani cabaran-cabaran pandemik Kovid-19. Kebanyakan keuskupan telah mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak membenarkan kelas bersemuka. Di mana ada kemudahan dan peralatan, kelas-kelas dijalankan di talian. Kaedah-kaedah lain merangkumi meneruskan hubunghan dengan pelajar menerusi atau aplikasi-aplikasi media sosial yang lain.    

Antara kebimbangan yang ditimbulkan oleh keuskupan adalah bagaimana menyelesaikan isu yang berkaitan dengan sukatan pelajaran yang belum tamat atau ketidakhadiran pelajar. Dalam hal ini, misalnya, dapatkah pelajar menerima Sakramen Komuni Suci atau Penguatan? Atau jika sukatan tidak dapat diselesaikan, adakah seluruh kelas akan ditahan untuk setahun lagi? 

Uskup Agung Leow menjawab keputusan mengenai hal-hal ini dan yang berkaitan diserahkan kepada para uskup keuskupan, dan atas arahan mereka, kepada para paderi paroki. Setiap keuskupan dan paroki mempunyai cabaran yang unik, dan harus bertindak balas sesuai dengan keperluannya.

Mesyuarat KMM seterusnya akan diadakan di Kuching, Sarawak dari 5-8 Julai 2021, jika keadaan mengizinkan. Jika tidak, mesyuarat akan dibuat dalam talian.