
Oleh Rayner Benjamin
INANAM — Komiti Alkitab St Catherine, Inanam mengadakan lawatan rohani ke Chapel St Simon, Pulau Penampang pada 24 Ogos 2025 dalam usaha memperkukuh ikatan iman dan persaudaraan antara sesama umat beriman. Lawatan itu disertai oleh ahli-ahli komiti bersama dengan wakil gereja tempatan yang disambut dengan penuh mesra oleh komuniti Chapel St Simon.
Program yang diadakan sehari suntuk itu bertujuan bukan sahaja untuk memperkukuh kefahaman umat terhadap Sabda Tuhan, tetapi juga membuka ruang untuk pertukaran pengalaman serta perkongsian pelayanan dalam bidang pewartaan Alkitab. Sepanjang lawatan, para peserta berpeluang mengambil bahagian dalam doa bersama, sesi perbincangan iman, serta aktiviti yang menekankan pentingnya Firman Tuhan dalam kehidupan seharian umat Kristian.
Dalam ucapan ringkas, Jonius Ginsong, wakil Komiti Alkitab St Catherine menyatakan rasa syukur dan gembira atas penyertaan serta sambutan hangat yang diberikan oleh komuniti Chapel St Simon. Menurut beliau, lawatan itu adalah satu tanda kasih persaudaraan dalam Kristus yang nyata melalui keterbukaan, kerjasama dan semangat kebersamaan umat.
Beliau menambah bahawa Komiti Alkitab St Catherine sentiasa berusaha menjadikan Alkitab sebagai sumber kekuatan dan panduan hidup, selaras dengan visi gereja untuk membawa umat semakin dekat dengan Firman Tuhan. “Kami percaya, melalui kegiatan seumpama ini, kita dapat belajar bukan sahaja untuk mendalami Sabda Tuhan, tetapi juga untuk menghayatinya dalam tindakan kasih sesama,” jelas beliau.
Lawatan itu turut diserikan dengan sesi ramah mesra, jamuan ringkas, dan pertukaran cenderamata antara kedua-dua pihak sebagai tanda persaudaraan iman. Keseluruhan program berlangsung dengan penuh semangat kekeluargaan, mencerminkan nilai yang terkandung dalam firman Mazmur 133:1, “Betapa indahnya apabila saudara-saudara diam bersama dengan rukun.”
Dengan adanya program sebegini, diharapkan lebih banyak komuniti gereja dapat bekerjasama dalam memperkukuh iman dan pelayanan, sekali gus mewartakan kasih Kristus kepada semua.