PESAN KRISMAS 2020
“Pada mulanya adalah Firman; Firman itu bersama-sama dengan Allah dan Firman itu adalah Allah … Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita”. (ruj. Yohanes 1:1-14)
Saudara-saudari dalam Kristus,
Perayaan Krismas tahun ini sangat berbeza. Fikiran kita sibuk dengan ketakutan COVID-19. Sesungguhnya seluruh dunia bersatu bukan dalam kegembiraan seperti Krismas pada kebiasaannya, kita bersatu dalam ketakutan! Kita tertanya-tanya adakah ahli keluarga kita, rakan kita, jiran kita, dan masyarakat kita, bahkan pada tahap kemajuan sekarang dalam sains perubatan adakah akan dapat mengekang virus pandemik yang dahsyat ini. Kita menghadapi masa hadapan yang tidak menentu.
Sejak kemunculan COVID-19, kita menyaksikan impak pandemik coronavirus pada masyarakat di seluruh dunia yang belum pernah dialami. Kesannya sudah tentu lebih dahsyat kepada orang miskin, para migran dan golongan terdedah. Tanda-tanda berkaitan dengan isu kesihatan mental sudah jelas dalam masyarakat kita. Kes keganasan rumah tangga, penderaan seksual, bunuh diri, dan kemurungan meningkat seperti yang dilaporkan di media tempatan dan antarabangsa.
Hanya sedikit yang meramalkan bahawa pandemik COVID-19 ini akan mengalami kehancuran yang berpanjangan, kekacauan dan kekeliruan dalam kehidupan seharian kita – kehidupan ekonomi dan sosial kita. Kita pasti tidak meramalkan bahawa gereja-gereja yang kosong semasa perayaan Paska pada bulan April lalu akan menjadi paparan permandangan perayaan Krismas lagi pada tahun ini. Biasanya, kita akan memenuhi tempat duduk gereja pada Paska dan Krismas, atau ramai lagi mereka yang beriman, dengan setia menunaikan kewajiban keagamaan mereka, sanggup berdiri di luar gereja.
Untuk tahun ini, memenuhi kewajiban keagamaan kita pada hari Krismas tidak akan menjadi urusan biasa. Mereka yang boleh diterima masuk untuk menyertai Misa mesti mematuhi SOP yang ketat seperti penjarakan fizikal/sosial dan lain-lain sekatan. Dan bagi sebilangan besar dari kita, doa kita akan berlaku dan terhad hanya di rumah dan secara maya seperti sudah menjadi amalan “norma baharu” di Gereja masa kini. Perayaan di peringkat komuniti tidak akan dapat dilakukan pada keadaan sekarang bahkan perayaan Krismas keluarga hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja.
Di tengah-tengah “norma baharu” ini serta ketidakpastian, kekecewaan, kehancuran, dan kebingungan hidup, kita boleh bersikap optimis terhadap masa depan dan berharap agar hari esok menjadi lebih baik! Kita mesti kuatkan iman kerana kita yakin akan kehadiran Tuhan dalam hidup kita. Injil di pagi Krismas mengatakan, “Pada mulanya adalah Firman; Firman itu bersama-sama dengan Allah dan Firman itu adalah Allah … Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita”.
Ini menjadi penghiburan besar untuk mengetahui bahawa Tuhan dan penyelamat kita tinggal di antara umatNya! Allah yang Ilahi dan Maha Suci telah menjadi salah satu daripada kita. Dengan cara ini, Yesus, Firman Allah yang menjelma berkongsi semua yang kita ada; emosi kita – kegembiraan kita, ketakutan kita, perjuangan kita – ringkasnya, Dia tahu keadaan kita dan berkongsi kisah kita sebagai manusia.
Dari kisah Injil, kita membaca bagaimana Yesus bertemu dengan pelbagai orang, orang-orang yang terdekat denganNya seperti para RasulNya, keluarga Martha, Maria dan Lazarus (lih. Yoh. 11:1-5), pemuda kaya yang ingin mengikutiNya (ruj. Mat. 19:20-22) dan ramai orang lain yang tidak sabar untuk mendengarNya bercakap (ruj. Luk. 5:15). Dalam kejadian ini dan banyak kejadian lain, Yesus menunjukkan kasih dan belas kasihanNya terhadap mereka yang memerlukan. Begitu juga, Dia berkongsi pengalaman kita dalam kesusahan dan ketidakpastian hidup dan menunjukkan belas kasihan dan kasih sayang terhadap kita.
Sesungguhnya, Firman Tuhan tetap tinggal di antara kita; Dia adalah Emmanuel – Tuhan beserta kita (ruj. Wahyu 21:3). Anak Allah berada di tengah-tengah kita bukan hanya memberi kita keyakinan dan harapan kepadaNya tetapi juga lebih penting lagi untuk menyatukan kita menjadi satu tubuh (lih. Kol 3:15) yang benar-benar menggambarkan komuniti Kristian beriman. Dia memanggil kita untuk bersikap penyayang, berbelaskasih, dan siap untuk menghulurkan tangan kita untuk membantu mereka yang memerlukan, terutamanya yang terkesan dari segi kewangan dan sosial akibat COVID-19 agar mereka dapat berdikari dan meneruskan kehidupan. Seperti kata Santo Paulus, “Semuanya itu harus dipergunakan untuk membangun masyarakat” (1 Kor. 14:26).
Oleh itu, berdasarkan iman Kristiani, kita menghadapi ancaman COVID-19, virus yang tidak memilih mangsa dan tidak mengenal batas, dengan menyatukan diri kita dengan masyarakat lain untuk menghentikan penularan virus pembunuh ini. Terdapat sedikit harapan kerana berita mengenai beberapa syarikat terkenal di seluruh dunia telah mengeluarkan vaksin yang dikatakan selamat dan berkesan untuk memerangi COVID-19. Sesungguhnya satu berita baik! Tetapi ini akan mengambil masa sebelum vaksin sedemikian tersedia secara meluas.
Sementara itu, kita perlu waspada pada setiap masa dengan mematuhi protokol keselamatan kerajaan, dengan ini kita tidak hanya melindungi diri kita daripada dijangkiti tetapi juga mencegah virus daripada menjangkiti orang lain. Dengan kata lain, seluruh masyarakat harus bersatu untuk melawan virus. Solidariti manusia dan dengan usaha bersama semua pihak menjadi jawapan kepada krisis ini.
Seperti yang telah disebutkan, ramai umat Kristian di seluruh dunia merayakan Krismas tahun ini tanpa kemungkinan menerima Komuni Suci secara fizikal, tiada kemungkinan merayakannya sebagai komuniti di Gereja seperti yang biasa kita lakukan. Walaupun begitu, kita yakin bahawa kita masih dapat bersatu dengan Tuhan secara rohani.
Di sebalik semua ini, mungkin krisis ini juga merupakan satu berkat; ada lebih banyak masa untuk kita, sebagai individu dan keluarga, untuk merenung dengan mendalam bahawa Kristus yang dilahirkan di palungan di Betlehem kini dilahirkan dalam keluarga dan hati setiap daripada kita.
Dalam kegelapan malam di Bethlehem, kelahiran Sang Penyelamat akan bersinar terang seperti matahari. Begitu juga dalam kegelapan krisis ini, dengan kelahiran Yesus, ada sinar harapan baru ketika kita menjalani kehidupan kita dalam terang iman. Dengan kelahiran Kristus Yesus di dalam hati kita, hari esok akan lebih cerah untuk kita semua.
Seperti kata pepatah, “Marilah kita berdoa untuk ketenangan menerima hal-hal yang tidak dapat kita ubah, keberanian untuk mengubah perkara yang kita mampu ubah, dan kebijaksanaan untuk mengetahui perbezaannya.”