Romo Lukas dan umat Katolik Indonesia bersama setempat di St Mark Batu 12 Sandakan

Oleh Rogena Roger Sining

Sep 8 2022

SANDAKAN – Romo Lukas Laba Erap dari Keuskupan Larantuka, Indonesia telah tiba di Keuskupan Sandakan pada pertengahan bulan Ogos 2022. Romo dijadualkan untuk melawat tiga paroki iaitu St Dominic Lahad Datu, Holy Trinity Tawau dan Katedral St Mary Sandakan.

Sempena lawatannya ke Paroki Sandakan, Komiti Pastoral Gereja St Mark (KPSM) bersama Komiti Keluarga Besar Katolik Indonesia (KBKI) telah menganjurkan satu program di Gereja St Mark, Batu 12, pada 24 Ogos. Hampir 200 umat migran Katolik dari Indonesia dan umat-umat setempat hadir.

Program tersebut dimulai dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Romo Lukas sendiri. Dalam homili, beliau bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan semua umatNya kesihatan yang baik walaupun dilanda pandemik Covid-19. Beliau turut berkata bahawa iman yang dimilikilah yang menjadi kekuatan kerana tanpa iman, manusia mudah menjadi korban dunia pada masa kini.

Romo Lukas menegaskan untuk terus berjalan bersama sebagai satu gereja sinodal diselarikan dengan Tema Hari Kemerdekaan Republik Indonesia yang ke-77 iaitu “Pulih Lebih Cepat, Bangkit Lebih Kuat”.

Dia menambah bahawa komuniti migran Katolik Indonesia mengalami banyak masalah, namun perjuangan serta pengorbanan yang tinggi  adalah diperlukan dan setiap perjuangan itu harus terus fokus kepada Tuhan.

Di akhir homili, Romo Lukas mengucapkan terima kasih kepada Uskup Sandakan, Julius Dusin Gitom kerana memberi peluang kepadanya melayani di Keuskupan Sandakan pada kali ini, dan juga kepada Rektor, Fr David Garaman untuk program lawatan ke Paroki Sandakan.

Selesai Misa Kudus, acara diteruskan di Dewan Serbaguna Gereja St Mark. Acara dimulakan dengan makan malam disusuli dengan sesi ucapan. Dalam ucapan Dimeh Koyopo, Penasihat Komiti Pastoral Gereja St Mark (KPSM), dia berterima kasih kepada Romo Lukas kerana dapat bersama-sama merayakan Misa Kudus.

Dimeh turut berkongsi bahawa tanpa iman, kehidupan akan mati seperti pada petikan alkitab Yakobus 2:14-26, “Iman tanpa perbuatan adalah iman yang sia-sia!”. Dia mengajak semua umat untuk membuka hati dan fikiran bagi membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Seterusnya, dalam ucapan Romo Lukas pula, dia meluahkan rasa gembira kerana dijemput kembali untuk melayani umat KBKI. Dia berharap agar peluang ini berterusan dan lebih ramai Romo pelawat dari keuskupan lain pada masa akan datang. Romo Lukas turut mengongsikan tentang betapa pentingnya dokumen perkahwinan yang sah dan teratur demi masa hadapan mereka dan keluarga. Dia menyeru agar semua umat KBKI mengurus dokumen mereka masing-masing dengan sebaiknya mengikut peraturan dan undang-undang.

Setelah sesi ucapan, hadirin mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan Romo Lukas dan sesama umat. Majlis ringkas tersebut diakhiri dengan doa penutup oleh Romo Lukas.

Program lawatan di Keuskupan Sandakan ini akan berakhir di Paroki Tawau dan Romo Lukas dijangka berangkat kembali ke Keuskupan Larantuka di Provinsi Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia selepas 5 Sep.