
Oleh dospo
SANDAKAN – Pada 31 Mei hingga 2 Jun 2025, Perhimpunan Pastoral Keuskupan Sandakan telah diadakan dan pada perhimpunan itu, “Keluarga” menjadi fokus utama. Seramai 150 delegasi dari seluruh Keuskupan termasuk ahli-ahli Tim Fokus Keuskupan Sandakan, Tim Penganjur (Lokal) dan seorang penyampai sesi telah berhimpun untuk menjayakan perhimpunan ini.
Hari pertama dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab yang dipimpin oleh Fr Mitchelly Kiun diikuti dengan sesi Orientasi dan ‘Expectation Check’. Sesi itu membawa delegasi untuk memahami hala tuju perhimpunan dan mengingatkan kepada mereka bahawa perhimpunan itu adalah kesinambungan dari perhimpunan lalu serta merupakan sebahagian dari persiapan menuju Malaysia Pastoral Convention 2026 (MPC). Delegasi kemudian diminta untuk berkongsi harapan mereka untuk perhimpunan itu dan merumuskan harapan mereka sebagai kumpulan dalam bentuk lukisan. Lukisan itu akan menjadi peringatan bagi mereka sehingga selesai perhimpunan.
Seterusnya, delegasi–delegasi perhimpunan berarak ke Katedral St Mary Sandakan untuk Misa Pembukaan (Misa Senja) dan mengakhirkan hari pertama dengan adorasi yang dipimpin oleh Diakon Ricki Boy Hasim. Itu merupakan ruang dan waktu bagi semua delegasi dipersiapkan secara rohani untuk sesi pembentukan pada hari berikutnya.
Hari kedua diperuntukan untuk sesi pembentukan rohani khas bagi semua delegasi yang terdiri daripada para klerus, religius, orang muda, dan pemimpin–pemimpin umat awam Gereja (lelaki dan wanita). Sesi pembentukan bagi perhimpunan itu membawa para delegasi untuk a) Memperdalam pemahaman tentang identiti pembaptisan dan tanggungjawab mereka, b) Menggalakkan pembaharuan komitmen sebagai orang yang dibaptis untuk menjalankan misi mereka bagi Gereja dan dunia, dan c) Membina semangat persaudaraan dan perpaduan di kalangan perwakilan semasa mereka meneruskan perjalanan bersama dalam semangat sinodaliti. Fr Clarence Devadass dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur telah dijemput untuk memberikan sesi ini.
Sesi pertama yang bertajuk “Memahami Panggilan Pembaptisan” menjemput delegasi untuk unlearn to relearn (belajar semula) makna pembaptisan mereka. Ia bukan sekadar ritus petikan; ia adalah komitmen rohani yang mendalam dan menandakan kemasukan mereka ke dalam komuniti Kristian. Ia juga mengajak para delegasi untuk merangkul identiti mereka sebagai anak-anak Tuhan yang dikasihi, dipanggil untuk menghidupkan iman mereka.
“Pembaptisan bukan sekadar upacara, ia adalah panggilan suci untuk hidup sebagai anak-anak Tuhan, membawa terang-Nya ke dunia” kata Fr Clarence Devadass.
Selesai sahaja sesi pertama itu, para delegasi diberi waktu untuk renungan peribadi berdasarkan kepada soalan “Bagaimanakah panggilan pembaptisan saya membentuk identiti saya sebagai murid Kristus?” selama 45 minit dan kemudian masuk ke dalam kumpulan untuk sesi perbualan rohani.
Sesi kedua menyentuh tentang “Pembaptisan dan Misi dalam Semangat Sinodaliti.” Pembaptisan, sering dirujuk dalam dokumen akhir Sinode untuk Sinodaliti. Konsep sinodaliti memberi penekanan dalam mendengar, dialog, dan tanggungjawab bersama dalam misi Gereja. Pendekatan itu selaras dengan panggilan pembaptisan, yang menggalakkan para delegasi terlibat dalam misi yang lebih luas untuk menyebarkan kasih Tuhan dan pelayanan dalam komuniti terutama sekali di Komuniti Kristian Dasar, Paroki dan Keuskupan.
Menurut Bapa Suci Fransiskus, setiap orang yang dibaptis dipanggil untuk menjadi protagonis misi, menekankan bahawa seluruh Umat Tuhan adalah agen pewarta Injil. Pemahaman tentang pembaptisan ini menonjolkan maruah bersama dan misi di kalangan semua ahli Gereja, mengukuhkan idea bahawa melalui pembaptisan, individu menjadi sebahagian daripada komuniti dengan tanggungjawab yang lebih kolektif. Dalam semangat sinodal, misi ini bukan hanya tanggungjawab paderi atau pemimpin gereja semata-mata; sebaliknya, ia adalah usaha bersama yang melibatkan setiap individu yang dibaptis.
“Gereja sinodal misionaris bersumber dari Pembaptisan, kerana kita semua yang telah dibaptis dalam Kristus dan Dia telah meliputi kita dengan diri-Nya (lih. Gal 3:27) dan membolehkan kita dilahirkan semula dari Roh (lih. Yoh 3:5-6) sebagai anak-anak Allah. ”Dokumen akhir Sinode untuk Sinodaliti, 15
Selesai sahaja sesi pertama ini para delegasi diberi waktu untuk renungan peribadi berdasarkan kepada soalan ini “Bagaimanakah pembaptisan saya mengundang saya untuk mengambil bahagian dalam misi Gereja?” selama 45 minit dan kemudian masuk dalam kumpulan untuk sesi perbualan rohani.
Hari kedua diakhiri dengan sesi para liturgi “DiBaptis dan DiUtus”. Setelah ‘fikiran,mata dan hati’ dipenuhi dengan pembelajaran semula tentang pembaptisan, para delegasi dibawa untuk pembaharuan pembaptisan secara simbolik dalam enam peringkat iaitu kayu salib, penyangkalan dosa, air kudus, berbaju putih, pembawa cahaya dan pewarta berita baik.
“Semua orang Kristian mengambil bahagian dalam sensus fidei melalui Pembaptisan. Inilah asas sinodaliti” Dokumen akhir Sinode untuk Sinodaliti, 23
Hari ketiga diteruskan dengan mendengar laporan paroki–paroki yang telah dikumpul, digabung dan sintesiskan oleh Tim Fokus Keuskupan dan menjadikan ia sebagai laporan Keuskupan Sandakan yang berfokus kepada Keluarga. Laporan itu juga disediakan berdasar kepada metodologi See – Judge – Act dan telah disampaikan oleh Francis Tan.
Dalam laporan itu, secara kolektifnya dapat disimpulkan bahawa keluarga merupakan sumber kasih, sukacita dan berkat Iman. Tidak dinafikan cabaran keluarga juga besar dalam aspek rohani, komunikasi, kasih, moral dan sosial. Maka antara langkah–langkah nyata untuk mewujudkan keluarga yang harmoni dan beriman adalah aktiviti rohani yang berterusan, menjaga komunikasi yang terbuka, saling mendukung antara ahli keluarga, ibu bapa perlu menjadi contoh, keseimbangan dalam penggunaan teknologi dengan interaksi antara keluarga secara langsung.
Dalam sesi pembentukan, meskipun topik utama menyentuh tentang pembaptisan, namun secara tidak langsung bab keluarga juga telah disentuh terutama sekali peranan keluarga sebagai Gereja domestik yang diperlukan untuk terus membimbing ahli–ahli keluarga yang lain dalam pendalaman iman.
Setelah selesai dengan sesi laporan, para delegasi sekali lagi diajak untuk membuat renungan peribadi berdasarkan kepada soalan ini “Setelah mendengar laporan sebentar tadi, apakah pendekatan keluarga saya terhadap jiran tetangga?” selama 60 minit dan diteruskan dengan perbualan rohani. Soalan renungan itu lebih membawa para delegasi untuk berkongsi bukan sahaja tentang diri mereka sebagai keluarga akan tetapi bagaimana keluarga mereka juga memainkan peranan menjadi sebahagian daripada pembawa harmoni kepada keluarga–keluarga di sekeliling mereka.
Tiga perkara yang penting dapat disimpulkan dalam perbualan rohani bagi sesi itu iaitu menjadi keluarga yang mempunyai kasih dan mengasihi sesama, keluarga yang berkomunikasi dan hidup berkomuniti, dan keluarga yang bertoleransi, mempunyai rasa hormat dan sikap ambil peduli.
Hari ketiga di teruskan dengan sesi Langkah Ke hadapan yang disampaikan oleh Fr David Garaman selaku Tim Fokus Keuskupan Sandakan. Dalam sesi itu beliau mengajak semua delegasi untuk terus membina sebuah Gereja yang berjalan seiring dengan keluarga dalam setiap peringkat kehidupan, menawarkan dorongan, pembentukan dan rasa kekitaan. Fr David juga menyeru agar Amoris Laetitia menjadi panduan untuk menyambut misi menjadikan paroki dan rumah sebagai tempat kasih, pengertian dan kesaksian inklusif untuk semua.
Fr David Garaman juga menyentuh tentang Perjalanan Salib dan menjemput semua paroki agar berjalan bersama–sama dengan Salib, agar dapat memperoleh kekuatan dan tujuan yang diperbaharui daripada kehadiran kekudusan-Nya.
Seterusnya Fr Garaman mengongsikan langkah ke hadapan bagi fokus utama yang baru iaitu “Kemasyarakatan” (Society), fokus MPC 2026 yang terakhir yang akan bermula pada Jun 2025 sehingga Mei 2026. Beliau mengharapkan agar semua umat Tuhan di Keuskupan Sandakan dapat mengambil peluang itu untuk sama–sama meneliti isi kandung ensiklik Bapa Suci Fransiskus iaitu Fratelli Tutti (Kita semua bersaudara) untuk memperdalamkan pemahaman terhadap panggilan Injil kepada persaudaraan, persahabatan dan solidariti.
Perhimpunan Pastoral Keuskupan Sandakan diakhiri dengan Misa Kudus penutupan yang dirayakan oleh Uskup Julius bersama–sama dengan para paderi Keuskupan Sandakan. Dalam homili, beliau mengingatkan kepada para delegasi bahawa Tuhan mengambil setiap umatnya dalam ketidaksempurnaan. Namun “jangan kecewa” kata beliau dengan ketidaksempurnaan itu kerana ia akan dikuatkan oleh rahmat Tuhan sebab Gereja itu adalah Tuhan sendiri, Dia yang menyucikan kita semua, Dia ingin menggunakan kita sebagai alat-Nya bagi Misi-Nya yang suci.
Uskup Julius juga turut berterima kasih kepada semua para paderi, para religius, ahli–ahli Tim Fokus Keuskupan, para penganjur, Fr Clarence Devadass dan terutama sekali kepada para delegasi. Meskipun cuti sekolah, mereka tetap memilih untuk hadir dalam perhimpunan itu. Semoga apa yang diperoleh dapat digemakan kepada umat di paroki masing–masing dan terus melayani dengan semangat sinodaliti. – dospo