Sr Germaine menerima sumbangan dari KJA yang disampaikan oleh Marutin kepada Rumah Kanak-Kanak Bondulu Tambunan sambil diperhatikan oleh ahli-ahli KJA yang lain

Oleh Clarence Dol

Jan 4 2024

TAMBUNAN – Kemeriahan Krismas hadir lebih awal kepada seramai 62 warga Rumah Kanak-Kanak Bondulu Holy Cross Toboh apabila menerima kunjungan dan sumbangan berupa makanan dan wang tunai oleh Persatuan Wartawan Keningau (KJA) dan beberapa kumpulan lain di sini pada 9 Dis 2023.

Ketibaan konvoi pengunjung ke rumah kanak-kanak itu disambut oleh Penjaga rumah, Sister Gamaine dan Sr Cabrini dengan iringan persembahan koir oleh kanak-kanak di pusat berkenaan.

Menurut Sr Gamaine, rumah kanak-kanak yang wujud sejak 1993 itu merupakan cetusan idea Datuk Dr Jeffry Kitingan yang bertujuan untuk menampung dan memberi peluang pembelajaran kepada anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.

Beliau berkata 80 peratus daripada kanak-kanak berusia antara lima dan 17 tahun itu terdiri daripada anak ibu bapa tunggal.

“Semua pelajar ini diuruskan oleh dua orang Sister serta beberapa sukarelawan yang datang membantu pada masa-masa tertentu,” jelas Sr Gamaine.

Menurutnya, keperluan harian anak-anak itu bergantung sepenuhnya kepada sumbangan orang ramai, persatuan dan sebagainya.

“Atas sebab itu, kami mengalu-alukan segala sumbangan daripada kesudian pihak lain yang menyediakan barangan makanan, keperluan harian individu, keperluan dapur atau wang tunai bagi menampung keperluan anak-anak ini,” katanya.

Bagaimanapun, setiap hujung minggu rumah itu sentiasa menerima kunjungan dan sumbangan daripada pelbagai pihak sama ada dari dalam atau luar negara, katanya.

Menurut Sr Gamaine, penghuni rumah ini bukan sahaja diberi peluang pendidikan malah didedahkan dengan aktiviti yang menjurus kepada sifat berdikari selain menerapkan nilai agama.

Beliau mengucapkan terima kasih atas kunjungan baik ahli KJA, yang diketuai oleh Presidennya, Marutin Ansiung kerana meluangkan masa dan usaha untuk membawa keceriaan kepada kanak-kanak dengan makanan, hadiah, wang tunai dan permainan, terutamanya semasa Adven.

“Saya harap ini bukan kunjungan KJA yang pertama dan terakhir, kerana setiap kunjungan setiap pihak benar-benar menyentuh hati kanak-kanak di sini dan memberikan mereka semangat untuk menghadapi cabaran setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Marutin berkata program yang diadakan pada hari Sabtu itu dinamakan Ziarah Kasih KJA ke Rumah Kanak-kanak Holy Cross Bondulu Toboh dan merupaan sebahagian daripada inisiatif CSR tahunan persatuan itu.

“Sebelum ini, kami juga pernah melakukan lawatan serupa ke rumah anak yatim lain semasa perayaan serta bulan Ramadan. Tujuan utama kami melakukan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Mungkin apa yang kami bawa hari ini tidak seberapa tetapi kami berharap dengan kunjungan itu dapat menaikkan semangat dan motivasi mereka melalui ‘sentuhan kasih’ terutama ketika menjelang Natal.

“Kami berharap kanak-kanak di sini akan gembira dan ceria pada perayaan yang akan tiba tidak lama lagi. Program ini akan diteruskan dari semasa ke semasa pada masa akan datang,” katanya.

Antara pengisian program tersebut ialah pengenalan ringkas kepada KJA dan ahli-ahlinya oleh Marutin, ceramah motivasi oleh Timbalan Presiden KJA, Dr Francis Andin, dan permainan, selain penyerahan sumbangan angpau.

Turut hadir Naib Presiden KJA, Hector Zaimit, Setiausaha, Sharon Caroline Ernest L Pahira, Bendahari, Phillip Ganang, ahli jawatankuasa Jaurin Madasin, Dullis Saimon dan Herry Kunjan.

Ahli KJA bersama Sr Cabrini dan anak-anak Rumah Kanak-kanak Bondulu semasa lawatan pada Sabtu