Sakramen Penguatan kelas PMG dan RCIA Bahagian BM pada 19 Nov di Katedral Hati Kudus
Oleh Averil Simon
Nov 23 2021
KOTA KINABALU – Uskup Agung John Wong menyempurnakan Sakramen Penguatan pada tahun ini kepada 114 calon yang mana seramai 111 terdiri daripada kelas PMG dan RCIA bahagian BM di Katedral Paroki Hati Kudus dan tiga calon daripada Gereja St Paul Dontozidon dalam Misa Kudus pada 19 Nov jam 7.00 malam di Katedral Hati Kudus sendiri.
Penerimaan Sakramen Penguatan dirayakan secara tertutup dan terhad hanya kepada para calon, ibu bapa, katekis, serta pelayan gereja dengan mengikuti Standard Operational Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi rumah-rumah ibadat.
Dalam homilinya, Uskup mengajukan soalan kepada para calon “Apakah itu Sakramen Penguatan? Mengapakah seseorang itu akan menerima Roh Kudus? Adakah semua orang mempunyai Roh Kudus? dan “Mengapakah Gereja menyuruh agar semua orang menerima Sakramen Penguatan?”
Uskup menjelaskan selepas kita dibaptis, setiap kita akan menerima Roh Kudus dan dibimbing serta didorong olehnya agar kita mampu mengikuti kehendak Tuhan, sehingga tiba masanya iman kita menjadi matang untuk menerima sakramen Penguatan. Atas pencurahan Roh Kudus yang diberikan, kita mampu bersedia untuk menjadi saksi Kristus walau di mana sahaja.
Uskup Agung menambah lagi, selain daripada menjadi saksi Kristus kita juga merupakan askar Kristus. Namun sebagai askar atau pengikut Kristus, kita turut mempunyai musuh, beliau menjelaskan terdapat tiga musuh.
Pertama ialah diri sendiri. Ini disebabkan kebanyakan kita tidak mampu menerima kekurangan atau kelemahan diri sendiri. Justeru itu, kita sering membandingkan diri kita dengan orang lain dan kita perlulah mengingati bahawa setiap kita diciptakan menurut gambaran atau imej yang Tuhan berikan kepada kita. Oleh sebab itu, kita memerlukan Roh Kudus untuk memimpin kita supaya kita boleh mengenali siapakah diri kita ini.
Musuh yang kedua ialah dunia. Hal ini kerana kita sering kali mendengar bisikan-bisikan yang dunia sampaikan kepada kita. Selain daripada kita mendengar tentang apa yang Tuhan ingin sampaikan kepada kita melalui Sabdanya. Jika kita melihat kehidupan seharian, kita sering kali lebih mendengarkan tentang apa yang disampaikan melalui dunia atau bisikan dunia. Oleh itu, kita memerlukan pertolongan dan bimbingan dari Roh Kudus agar kita mampu mengikuti bisikan daripada Tuhan dan bukan dari dunia.
Yang ketiga pula ialah musuh tidak kelihatan iaitu syaitan. Kita sentiasa akan mendengar bisikan tersebut di dalam hati kita dan bisikan tersebut akan sentiasa mengikuti kita. Walaupun kita mengetahui bahawa jika kita mengikuti bisikan tersebut, kita akan berdosa tetapi kita sentiasa akan terikut bisikan syaitan ini. Oleh itu, sekali lagi kita memerlukan bimbingan dan kekuatan daripada Roh Kudus untuk kita melawan musuh ini. Setelah kita menerima Roh Kudus, kita juga mampu untuk mengetahui lebih mendalam tentang Roh Kudus.
Uskup berharap setelah menerima Sakramen Penguatan, para calon mampu menghidupi buah-buah Roh Kudus yang telah diberikan kepada mereka agar ia mampu menolong serta membimbing dalam setiap perjalanan kehidupan mereka.