
BAHASA mungkin pada mulanya dianggap hanya sebagai alat untuk berkomunikasi, tetapi ia lebih daripada sekadar set tatabahasa dan perkataan.
Bahasa ibunda adalah sebahagian daripada warisan budaya setiap bangsa, dan ia menyumbang kepada kepelbagaian linguistik dan budaya yang menjadi saluran perpaduan berasaskan kefahaman, toleransi serta dialog pelbagai budaya di dunia.
Bahasa ibunda juga bukan sekadar perkataan; ia mendukung tradisi dan membentuk identiti negara, dan ia juga merupakan pusat budaya dan wahana identiti kepada sesuatu kelompok etnik dalam kehidupan sesuatu kumpulan masyarakat.
Dalam pada itu, bahasa ibunda adalah alat yang sangat berkesan untuk mengekalkan dan mengembangkan warisan bangsa.
Begitu juga ketika bahasa ibunda digunakan dalam gereja ia memperlihatkan keunikan budaya yang ada di tempat itu dan mengenali kepelbagaian kelompok etnik setiap umat yang datang menghadiri Misa Kudus atau ibadat.
Kini, ramai orang muda kurang tertarik dalam bertutur dalam bahasa ibunda namun masih ada yang bertahan dengan warisan bahasa mereka dalam kehidupan seharian dan juga mereka yang berusaha dalam mempelajari bahasa ibunda.
Berikut merupakan pandangan orang muda Katolik tentang penggunaan bahasa ibunda:
Saya Sylmyra, 23, dari Paroki Holy Family, Telipok. Bahasa ibunda saya ialah Dusun. Saya tidaklah begitu mahir dalam bertutur tetapi masih boleh bercakap dan memahami apa yang dikatakan oleh orang lain jika mereka berbahasa ibunda kepada saya. Walaupun kadang-kadang saya sukar mencari perkataan yang tepat, saya tetap berusaha untuk menggunakan bahasa ini dalam perbualan seharian, terutama dengan keluarga.
Saya sangat setuju dengan slogan ‘bahasa jiwa bangsa’ ini. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga mencerminkan budaya, sejarah, dan identiti kita sebagai satu bangsa. Apabila kita bertutur dalam bahasa ibunda, kita sebenarnya sedang mengekalkan warisan nenek moyang kita. Jika kita tidak lagi menggunakan atau mempelajari bahasa ibunda kita, sedikit demi sedikit identiti kita sebagai masyarakat yang unik akan terhakis. Oleh itu, penting untuk kita terus menggunakannya dalam kehidupan seharian, walaupun hanya dalam situasi tertentu seperti bercakap dengan keluarga atau ketika menghadiri acara tradisi agar bahasa ibunda kita tidak pupus ditelan zaman.
Pada pandangan saya, saya masih merasakan bahawa Gereja tempatan masih ada usaha untuk mempertahankan bahasa ibunda. Walaupun Misa diadakan dalam bahasa Melayu, tetapi Gereja masih menyelitkan beberapa lagu dalam bahasa dusun atau kadazan semasa perayaan Misa. Ada juga Gereja yang masih mengekalkan penggunaan bahasa ibunda dalam Misa. Ini adalah satu langkah yang baik kerana ia memberi peluang kepada umat untuk bertutur, mendengar dan menyanyikan lagu pujian dalam bahasa ibunda mereka.
Selain itu, Gereja juga Masih menyambut pesta Kaamatan dengan cara mengadakan Misa sempena Kaamatan. Selain itu, penganjuran tamu kaamatan di mana terdapat pelbagai makanan, kraftangan serta aktiviti berkaitan budaya tempatan turut diadakan.
Walaupun bukan semua Gereja menggunakan bahasa Dusun/kadazan dalam merayakan Misa namun usaha seperti ini menunjukkan bahawa budaya dan warisan kita masih dihargai dalam komuniti Katolik. Ini menguatkan keyakinan saya bahawa usaha untuk mengekalkan bahasa ibunda dan budaya kita masih diteruskan, walaupun semakin kurang digunakan dalam kalangan generasi muda.
Saya ingin mengajak rakan-rakan muda Katolik untuk tidak malu menggunakan bahasa ibunda kita. Walaupun kita mungkin tidak begitu fasih, tidak mengapa, yang penting kita mencuba. Saya yakin pasti ramai dari kalangan generasi muda sekarang lebih banyak atau lebih selesa menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris dalam pertuturan seharian namun, bagi saya kita tetap boleh belajar dan mempraktikkan bahasa ibunda kita sedikit demi sedikit. Jangan biarkan bahasa kita lenyap, kerana ia adalah sebahagian daripada identiti kita dan jika kita sendiri tidak mempertahankannya, siapa lagi? Mungkin kita boleh mula dengan perkara kecil, seperti bercakap dengan keluarga, belajar satu perkataan baharu setiap hari, atau menyanyikan lagu dalam bahasa ibunda semasa di Gereja atau di rumah. Oleh itu, Marilah kita bersama-sama menjaga dan mewarisi bahasa ini untuk generasi akan datang.