
Oleh Wilfred
KENINGAU – Lebih 500 umat Katolik berhimpun di Dataran Keuskupan Keningau bagi menyaksikan detik bersejarah Pelancaran Perjalanan Salib MPC (Malaysia Pastoral Convention) di peringkat Keuskupan Keningau pada 25 Mei 2025.
Acara dimulakan dengan perarakan Salib MPC pada jam 4.00 petang diiringi tarian rebana dan lagu-lagu pujian oleh koir. Hadir dalam pelancaran ini adalah Uskup Cornelius Piong, Msgr Gilbert Lasius, para paderi, religius, pengerusi-pengerusi MPP/MPM serta perwakilan-perwakilan belia.
Roney Eming menyampaikan katekesis singkat tentang maksud dan tujuan Perjalanan Salib MPC. Beliau menjelaskan bahawa Salib ini adalah lambang ziarah rohani umat Katolik di Malaysia yang membawa harapan dan kasih Yesus ke seluruh pelusuk negara.
Katekesis menyentuh sejarah sejak 2016, apabila golongan religius dan awam mula berkumpul untuk merancang hala tuju Gereja Katolik Malaysia. MPC 2026 akan menjadi konvensyen nasional yang menghimpunkan kesembilan keuskupan/agung di Malaysia. Sebelum itu, pelbagai pertemuan pastoral telah dan sedang berlangsung, termasuk Malaysia Religious Assembly (Jun 2023) dan Malaysia Catholic Youth Day (MCYD 2025). Salib MPC yang tinggi 9” x 5” kaki, dihiasi bunga raya, simbol kasih terhadap tanah air dan kesatuan dalam Kristus. Salib ini akan menjelajah semua paroki, termasuk kawasan pedalaman untuk menyentuh setiap lapisan masyarakat: belia, dewasa, kanak-kanak, warga emas dan komuniti Katolik Orang Asal.
Katekesis tersebut turut memperincikan tiga fasa perjalanan Salib iaitu Fasa Komuniti: Umat berbincang cara menyambut Salib secara bersama. Fasa Partisipasi: Semua umat dilibatkan dalam perjalanan dan aktiviti. Fasa Misi: Menjadi saksi kasih Tuhan kepada semua. Empat fokus utama dalam perjalanan ini ialah Gereja, Keluarga, Sosial/Komuniti dan Ciptaan Tuhan. Katekesis juga menekankan inspirasi daripada dokumen penting Gereja: Evangelii Gaudium, Amoris Laetitia, Laudato Si’ dan Fratelli Tutti. Helena, penaung penemuan rohani baharu, dipilih sebagai pelindung rohani sepanjang perjalanan ini.
Semua umat digalakkan untuk mengikuti perkembangan Salib ini menerusi laman web gerejakatolik. my serta berkongsi puisi, doa dan lagu sebagai ungkapan iman mereka.
Dalam Uskup Cornelius Piong, beliau mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada Mgsr, para paderi, religius, pengerusi MPP, para belia dan seluruh umat yang hadir.
Uskup menegaskan bahawa salib tidak dapat dipisahkan daripada iman Kristiani. Saliblah yang mengungkapkan kasih pengorbanan Yesus kepada umat manusia. “Dalam Yohanes 12:23, Yesus berkata bahawa sesiapa yang mahu mengikutNya harus memikul salib setiap hari. Ini menjadi pedoman dan kekuatan hidup kita,” kata uskup. Prelatus itu mengajak semua untuk merenung tiga hal dalam Firman Tuhan iaitu jangan mementingkan diri sendiri, memikul salib setiap hari dan mengikut Yesus dengan setia.
Renungan ini harus menjadi cerminan kepada semua pelayan dan pemimpin. Apakah pelayanan dan kepimpinan kita benar-benar selaras dengan kehendak Yesus?” soal prelatus itu. “Salib menuju MPC ini membawa umat Malaysia menjadi umat berkualiti, melalui pertemuan dan persekutuan berasaskan kasih dan doa.”
Majlis diteruskan dengan pembekatan Salib, diikuti dengan penyerahan Booklet Kit Perjalanan Salib MPC 2026 kepada koordinator paroki, sebagai panduan lengkap bagi sambutan, katekesis, misa dan penyertaan umat.
Salib ini akan memulakan ziarahnya dari Paroki KSFX Keningau, St Theresa Tambunan, Holy Cross Toboh, Roh Kudus Sook, St Anthony Tenom, Mission Kemabong dan St Patrick Membakut.
Kesemua sembilan Salib dari keuskupan di seluruh Malaysia akan disatukan semula dalam MPC 2026, sebagai simbol kesatuan, sinodaliti, dan misi Gereja Katolik Malaysia – satu hati, satu tubuh, satu misi dalam Kristus. Program diakhiri dengan penghormatan salib bermula dari Uskup, Msgr, para paderi disusuli dengan umat yang hadir.