
Oleh Catherine Yusak/SOCCOM
LAHAD DATU – Paroki St Dominic menjadi tumpuan dengan penganjuran acara Family Fun Run St Dominic 2025 pada 1 Mei 2025. Program itu telah menghimpunkan lebih 300 penyertaan umat paroki dalam beberapa kategori larian dan dalam semangat kekeluargaan, kesihatan, serta kerohanian. Program itu dianjurkan oleh Kerasulan Belia Paroki St Dominic dan Komiti Pelayan Altar, dengan kerjasama Majlis Pastoral Paroki St Dominic dan Pejabat Paroki, dan disokong oleh penaja utama Tritonic Isotonic Drink dan K2 Life Water.
Acara bermula seawal jam 7.30 pagi dengan Doa Rosari bersama dan diikuti dengan Misa Kudus bermula jam 8.00 pagi sebagai pembukaan kerohanian yang menyatukan umat dalam doa, kesyukuran dan Ekaristi. Program diteruskan dengan aktiviti sukaneka pada jam 10.00 pagi, memberi ruang kepada kanak-kanak dan keluarga yang hadir pada masa itu untuk bersuka ria. Di waktu tengah hari pula, umat dapat menjamu selera dengan pelbagai makanan dan minuman yang dijual di gerai-gerai yang dibuka pada masa tersebut. Dengan adanya gerai-gerai ini dapat memeriahkan lagi suasana kekeluargaan dan kebersamaan dikalangan umat.
Sebelah petang pula dimulakan dengan pendaftaran larian pada jam 2.00 petang, diikuti dengan senaman aerobik pada jam 3.30 petang untuk memanaskan badan sebelum acara utama dilancarkan. Pelepasan larian telah berlangsung tepat jam 4.00 petang, dalam beberapa kategori dan kemuncak acara adalah cabutan bertuah BIB yang dilaksanakan pada jam 5.35 petang, memberi peluang kepada para peserta membawa pulang hadiah-hadiah yang menarik.
Family Fun Run St Dominic bukan sekadar acara larian, tetapi satu tujuan utama adalah untuk terus mengumpul dana bagi pembangunan dan memperluaskan bangunan gereja yang sedia ada. Daripada program ini sekitar RM30k dana telah berjaya dikumpul untuk tabung pembangunan gereja. Di samping itu juga program itu telah mengeratkan lagi hubungan sesama umat pada setiap peringkat usia dalam membina semangat komuniti dan merayakan kesihatan jasmani dan rohani bersama.