
Oleh Presca Tudol
PENAMPANG – Perjalanan rohani ke Feast Day of St Anne di Bukit Mertajam, Pulau Pinang tahun 2025 menjadi satu pengalaman yang amat bermakna dan penuh rahmat buat para penziarah dari Sabah, khususnya mereka yang mengikuti rombongan anjuran Funholiday Tour & Travel Sdn Bhd. Dalam kemuncak acara kerohanian itu, para penziarah merasa amat bertuah apabila Kardinal Sebastian Francis semasa penutupan Misa Kudus dalam Bahasa Kadazan, meluangkan masa menyampaikan kata-kata semangat yang menyentuh hati dan jiwa semua yang hadir.
Dalam ucapannya, Kardinal Sebastian menyatakan betapa besar harapannya kepada umat dari pelbagai pelusuk negara, terutamanya dari Sabah, yang hadir dengan semangat pelayanan dan kesetiaan kepada iman Katolik.
”Kamu semua adalah keturunan Santa Anna dan juga keturunan Bonda Maria. Sebagai anak-anak rohani mereka, kalian telah datang ke tempat suci ini bukan hanya membawa doa dan permintaan, tetapi juga membawa warisan iman yang hidup dan berkembang,” katanya.
Beliau turut menyampaikan doa khas buat negeri Sabah yang akan menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi. “Semoga Santa Anna dan Bonda Maria melindungi tanah air kita, agar pilihan raya ini dijalankan dengan adil, bersih, jujur, dan bebas. Rakyat Sabah berhak menikmati pemerintahan yang membawa kepada kemajuan dan kesejahteraan,” katanya.
Kardinal Sebastian turut menyampaikan penghargaan kepada Gereja Katolik di Sabah yang telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah kepada Perhimpunan Katolik Malaysia pertama, satu detik bersejarah dalam kalendar gereja tempatan.
“Saya percaya, dengan semangat Roh Kudus, Gereja di Sabah akan terus bangkit dan memainkan peranan penting dalam memperkuatkan iman umat di Malaysia,” tambahnya lagi.
Misa penutup dalam Bahasa Kadazan itu diselebrankan oleh Friar Crispus Mosinoh, dibantu oleh Fr Peter Chung dan Fr Russel Lawrine. Kehadiran ramai umat dari pelbagai latar belakang bahasa dan budaya memperlihatkan keindahan perpaduan dalam iman Katolik.
Para peziarah dari Funholiday Tours & Travel bukan sekadar hadir sebagai peserta, malah turut aktif dalam pelayanan Misa dalam Bahasa Kadazan sebagai koir, pewarta sabda, dan juga mempersembahkan tarian tradisional sumazau. Penyertaan aktif itu bukan sahaja mencerminkan kekayaan budaya Sabah, malah menyerlahkan semangat pelayanan yang tinggi di kalangan umatnya.
Lawatan rohani itu turut disusun rapi dengan kunjungan ke beberapa gereja lain di Pulau Pinang. Antara tempat yang dikunjungi termasuklah Gereja Assumption Pulau Pinang, di mana para penziarah mengikuti Misa pertama mereka sejurus tiba. Sebelum kembali ke Sabah, mereka juga sempat melawat Gereja Divine Mercy dan menyertai Misa dalam Bahasa Inggeris, memberi ruang untuk mengalami kepelbagaian bentuk penyembahan dalam komuniti Katolik.
Sepanjang penziarahan itu, rata-rata peserta mengakui bahawa mereka telah menerima ”sesuatu” yang sukar digambarkan dengan kata-kata – suatu sentuhan rohani yang memperbaharui hati, memperdalam iman, dan memperkuat semangat pelayanan. Bagi mereka, pengalaman itu bukan sekadar satu perjalanan fizikal ke tempat suci, tetapi juga sebuah perjalanan hati menuju pengharapan yang baru.