Belia dan Caritas St Paul Dontozidon
By Nelson Fernandez
Oct 7 2021
DONTOZIDON – BELIA dan Caritas Paroki St Paul Dontozidon turut memberi kerjasama dalam aktiviti solidariti 2.0 mangsa banjir di Kg Sugud yang dianjurkan oleh Komisi Belia Keuskupan Agong Kota Kinabalu pada 2 Okt 2021.
Seramai 45 belia tampil memberi sumbangan tenaga secara sukarela membantu keluarga membersihkan kawasan rumah yang terjejas banjir. Anggota ini di bahagikan kepada dua kumpulan untuk melakukan kerja-kerja berasingan iaitu di Ponongkuhon, Kodou dan Suzad Sugud. Berbekal semangat kesatuan, ianya dapat memupuk semangat kekitaan berjalan bersama dengan keluarga yang dibantu dan dapat mengurangkan beban kerja yang perlu mereka lakukan. Ada diantara mereka yang terjejas pencarian pendapatan sampingan di mana kebun sayur mereka musnah.
Merujuk kepada bacaan kitab Efesus 4:2 “hendaklah kamu selalu rendah hati, lemah lembut dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dalam hal saling membantu”, para belia St Paul Dontozidon menunjukkan cintakasih kepada sesama seperti kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinging”.
Diakhir aktiviti itu, pengerusi Caritas Paroki mengucapkan terima kasih kepada semua belia, umat Dontozidon dan Tim Caritas kerana menjayakan aktiviti solidariti itu.
Turut menyemarakkan semangat kekitaan dalam aktiviti solidariti ialah pengerusi MPP dari ketiga-tiga Gereja iaitu St Paul Dontozidon, Our Lady Queen Of Peace Kobusak dan St John The Baptist Kopungit disertai dengan Fr Rusell Lawrine.
Membersihkan kawasan rumah salah satu keluarga yang terkesan banjir di Kg Sugud
Sementara itu, pada 3 Okt 2021 Tim Caritas pula mengagih-agihkan bantuan kepada beberapa kampung yang juga terkesan dengan banjir yang melanda daerah Penampang. Antara kampung itu ialah Kg Babah, Bunduon. Semoga sumbangan yang berbentuk makanan seperti sayur, telur, air mineral dan lain-lain lagi dapat memberi kelegaan sedikit dan meringankan beban mereka dan dapat digunakan untuk jangka masa sepatutnya.
Seterusnya Tim Caritas menuju ke Kg Dabak yang mana rumah salah seorang mangsa banjir mengalami kerosakan akibat banjir deras. Sumbangan ikhlas berupa wang telah diberikan untuk membeli keperluan harian bersama dengan keluarga.
Pelayanan ini sangat indah bagi semua yang terlibat, 2 Korintus 9:12 “Sebab pelayanan kasih yang berisi pemberian ini bukan hanya mencukupkan keperluan-keperluan orang-orang kudus, tetapi juga melimpahkan ucapan syukur kepada Tuhan”.