Caroline Liew, tetamu jemputan Radio Online Kekitaan FM
Oleh Herald Malaysia
Jan 14 2021
KENINGAU – Memilih pelayanan dalam NGO Kristian memerlukan keberanian dan komited kerana ia tidak sama dengan pekerjaan atau kerjaya lain. Pertama, anda perlu keluar dari zon selesa dan perlu ada semangat kerohanian yang tinggi,” kata Caroline Liew, dari Senangang, merupakan seorang pekerja misi World Vision Malaysia, (WVM) sebuah NGO yang berfokus membantu orang-orang yang memerlukan, tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
Carol, pemegang Ijazah Muda Sosiologi dan Anthropologi Sosial UMS menjadi tetamu jemputan Radio Online Kekitaan FM pada 14 Disember 2020 bersama DJ Emui.
Seorang belia Katolik yang aktif menyertai pelbagai kem, seminar dan aktiviti rohani, Carol mengatakan bahawa WVM, sebuah organisasi bukan kerajaan yang menggunakan nilai-nilai Kristian, komited melayani golongan miskin khususnya kanak-kanak. Kini Carol bersama rakan-rakannya sedang melayani di Sook, Nabawan.
Ditanya mengapa memilih bidang pelayanan kemanusiaan sedangkan belia lain lebih suka memilih pekerjaan di bandar, Carol menjelaskan bahawa bekerja di platform pelayanan kemanusiaan adalah panggilan dan berkat.
Beliau mendapat inspirasi dari ibu bapanya yang juga aktif melayani. Menurut Carol, bapanya seorang katekis dan sentiasa melayani di stasi luar. “Apabila dia kembali, dia sentiasa menceritakan sukacita pengalamannya semasa melayani. Ini memberi pengaruh baik dan ilham kepada saya untuk melakukan perkara yang sama.”
Selepas graduasi, didorong oleh rakan dan Bapa Uskup Cornelius merupakan antara yang menyokong Carol untuk menyertai WVM.
Carol juga menjelaskan skop tugasnya sebagai pelayan kemanusiaan iaitu mengenal pasti cabaran yang dihadapi komuniti kanak-kanak dan masyarakat serta perancangan jangka panjang.
Menurut Carol juga, dia sudah biasa dengan cabaran getir misalnya kemalangan kecil dis ebabkan keadaan jalan raya yang teruk serta tidak ada kemudahan elektrik, Internet atau air bersih di kawasan-kawasan yang dilawati atau dilayaninya.
“Semua ini dapat dilalui dengan kekuatan Roh Kudus. Segala kepayahan dan kesukaran akan hilang melalui persahabatan dan wajahwajah riang mereka yang dilayani,” kata Carol.
Carol juga pernah melayani komuniti Orang Asli di semenanjung selama beberapa bulan dan berpeluang belajar di Kalimantan, Indonesia untuk memperkasakan lagi pelayanan bantuan kemanusiaan.
WVM diasaskan pada tahun 1950 oleh Dr Bob Pierce, seorang pastor dari Amerika. Dr Bob mengasaskan WVM semasa berada di China di mana dia membantu seorang kanakkanak yang mahu belajar tetapi tidak dapat ke sekolah akibat kemiskinan. Dr Bob berusaha menghantar kanak-kanak itu kepada seorang guru besar misionari yang membantu kanakkanak mendapat pendidikan.
Bermula dari usaha kecil itu, kini WVN berkembang di seluruh dunia, berdedikasi membantu keluarga miskin dan ketidakadilan serta berjuang memperlihatkan cinta kasih Tuhan kepada semua orang. – Herald