Oleh DOSPO
Nov 2 2020
SANDAKAN – Caritas Malaysia Keuskupan Sandakan telah mengadakan satu Perbincangan Kumpulan Fokus (Focus Group Discussion) pada 24 Okt 2020 yang lalu di atas talian menerusi aplikasi Google Meet.
Seramai 20 peserta mewakili semua paroki Keskupan Sandakan telah mengikuti perbincangan ini, termasuk Fr Phillip Anthony Muji, dua religius Sister dari Kongregasi FSIC dan 18 pemimpin umat awam.
Perbincangan Kumpulan Fokus ini diadakan khusus untuk mendapatkan maklumat berkenaan situasi komuniti-komuniti seluruh Keuskupan Sandakan. Respon yang diperolehi amat penting agar pihak Pastoral Keuskupan terutama sekali Caritas Diosis dapat memahami situasi yang dihadapi oleh orang-orang di dalam komuniti tersebut.
Langkah pertama, meskipun secara sederhana ini, dapat membantu Caritas Keuskupan dan Paroki untuk merenung, merancang dan membentuk pelan tindakan yang sesuai untuk memenuhi keperluan komuniti yang terlibat.
Pertemuan ini telah dimulakan dengan doa pembukaan oleh Fr Phillip Muji dan ucapan pembukaan dari Uskup Julius Dusin Gitom.
Di awal ucapannya, uskup memberi sedikit sejarah tentang kewujudan Caritas dan misi utamanya iaitu berusaha membina dunia yang lebih baik, terutama bagi golongan miskin dan yang tertindas.
Dia juga menjelaskan bahawa struktur yang sudah sedia ada iaitu Komisi Pembangunan Insan Keuskupan akan diguna pakai sebagai dasar kepada Caritas. Ini adalah untuk mengelak pertindihan kerja kerana Komisi ini juga menjalankan tanggungjawab amal yang sama seperti Caritas. Segala kegiatan amal yang dijalankan di peringkat Paroki akan diteruskan dan dilaksanakan di bawah Caritas.
Bapa Uskup juga telah menyatakan rasa syukur kerana Ajaran Sosial Gereja telah diperkenalkan di Keuskupan sejak penubuhan Komisi Pembangunan Insan melalui bantuan Kongregasi Good Shepherd Sisters iaitu Sr Maria Dipal, rgs.
Maka dengan pengetahuan ini, amat mudah bagi Keuskupan memahami misi Caritas kerana ia juga menjadikan Ajaran Sosial Gereja sebagai panduan dan teras dalam misi sosialnya.
Uskup berharap agar perbincangan kumpulan fokus ini akan membuahkan hasil yang diharapkan iaitu mendengar suara-suara dari akar umbi. Adalah menjadi tanggungjawab tim pelaksana untuk memahami impian komuniti-komuniti setempat dan menjadikan ia sebagai panduan dalam menjalankan misi di setiap paroki.
Di akhir ucapan, Uskup Julius berharap agar Caritas di peringkat paroki dapat bekerjsama dan berjalan rapat dengan Paderi Paroki dan pembantunya agar apa sahaja kegiatan pastoral sosial dapat dijalankan dengan lancar.
Peranan Caritas Malaysia
Perbincangan tersebut juga memberi pengenalan Caritas Malaysia kepada para peserta agar mereka dapat memahami peranan utama Caritas dan bagaimana keuskupan Sandakan juga boleh membantu dalam misi pelayanan sosial ini.
Pada 7 Jan 2020 yang lalu dalam mesyuarat Konferensi Para Uskup Malaysia-Singapura-Brunei, para uskup telah sebulat suara bersetuju untuk mewujudkan Caritas di Malaysia. Mereka juga bersetuju untuk melantik Uskup Bernard Paul sebagai Presiden dan Charles Bertille sebagai Setiausaha Eksekutif bagi Caritas Malaysia. Maka sejak pada hari itu Caritas mulai diwujudkan secara perlahan-lahan di setiap Keuskupan di Malaysia.
Caritas yang bermaksud amal atau kasih merupakan satu badan pelayanan dengan misi untuk melayani yang miskin dan memerlukan, membantu dalam hal-hal kemanusiaan dan membantu menyebarkan amal dan keadilan dalam dunia yang berlandaskan Firman dan ajaran Gereja Katolik.
Selain daripada penglibatan para paderi dan religius, Caritas juga ingin memperkasakan umat awam dalam memainkan peranan untuk membawa mesej Injil dan Gereja di tempat umum melalui pelayanan Caritas dan kesaksian sebagai seorang Kristian. Ia juga berfungsi sebagai ‘organ’ rasmi bagi Gereja-Gereja Katolik Malaysia di bawah Konferensi Para Uskup, berkenaan hal mempromosikan amal dan bantuan, kesatuan pembangunan insan, dan keadilan ekologi.
Sejurus selepas pengenalan Caritas, para peserta dibawa dalam sesi perbincangan kumpulan fokus. Pihak penganjur telah terlebih dahulu bertemu untuk membincangkan dan menyenaraikan isu-isu yang berlaku di komuniti tempatan. Daripada senarai isu yang banyak, mereka telah menyenarai-pendekkan isu tersebut kepada satu isu utama iaitu peluang mencari nafkah hidup untuk menyara diri dan keluarga (livelihood opportunity).
Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada dua kumpulan dan diberikan soalan-soalan berikut sebagai panduan bagi perbincangan mereka:
Apakah sebab-sebab bagi isu utama ini?
Siapakah yang paling terkesan dari isu utama ini? Apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi penderitaan mereka? Siapa yang akan memainkan peranan untuk mengurangkan penderitaan mereka?
Apakah sumber-sumber yang komuniti ini ada untuk mengambil tindakan terhadap isu ini? Apakah sokongan yang mereka perlukan dari luar untuk meneruskan tindakan bagi hal ini?
Apakah aspirasi / impian komuniti anda?
Hasil perbincangan telah diambil, direkod dan disatukan menjadi satu laporan oleh pihak penganjur. Penemuan hasil dari perbincangan kumpulan fokus ini juga telah dibentang dalam pertemuan Caritas peringkat negeri Sabah dan gabungan laporan antara ketiga-tiga Keuskupan ini akan dibentang dalam Perhimpunan Nasional Caritas Malaysia pada 13 Nov kelak.
“Saya lebih menyukai Gereja yang lebam, terluka dan kotor kerana telah keluar di jalan – jalan, daripada Gereja yang sakit kerana menutup diri dan nyaman melekat pada rasa amannya sendiri” – Sukacita Injil no. 49 – DOSPO