Belia Dontozidon menyanyikan lagu-lagu pujian sempena meraikan Program Hari Belia Sedunia pada 20 Nov lalu
Oleh Sabrina Tubong
Nov 25 2021
KOTA KINABALU – Walaupun sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, namun seramai 63 belia daripada Paroki St Paul Dontozidon juga tidak ketinggalan untuk menyambut dan merayakan Hari Belia Sedunia pada 20 November lalu di Katedral Hati Kudus, iaitu sehari sebelum perayaan Hari Raya Besar Kristus Raja.
“Orang Muda, Bangkitlah dan Bersaksi”, dipetik dari kitab Korintus 26:16 adalah tema yang diambil bagi Perayaan Hari Belia Sedunia pada tahun 2021.
Program yang bermula tepat jam 4.00 petang dimulakan dengan Doa Pembukaan dan Pentakhtaan Alkitab oleh Fr Russell Lawrine, diikuti dengan beberapa lagu-lagu pujian. Para belia kemudian diberi taklimat mengenai “Sinode Gereja: Berjalan Bersama” oleh Junior Darius.
Peserta belia program Hari Belia Sedunia
Para belia telah melalui Proses Sinode di mana mereka bersama-sama menyuarakan pendapat secara berkumpulan berdasarkan soalan-soalan yang diberikan. Para belia diberi masa untuk berfikir dan memberi ruang pada diri sendiri untuk mengongsikan dan menceritakan pengalaman hidup dalam pelayanan. Sejurus selesai perbincangan kumpulan, program sebelah petang diakhiri dengan rumusan atau pembentangan daripada setiap kumpulan.
Program diteruskan sebelah malam dengan Adorasi yang dipimpin oleh Fr Paul Lo, Rektor Paroki tepat pada 7.30 malam bersama-sama dengan belia daripada Katedral Hati Kudus.
Dalam homili singkat Fr Paul Lo, dia menyeru kepada para belia untuk tampil menjadi saksi Kristus melalui perbuatan. Meskipun kita dalam keadaan pandemik, ini juga peluang bagi kita untuk melibatkan diri sebagai “volunteer”.
Sesuai dengan tema belia tahun ini, para belia Paroki St Paul Dontozidon telah mengikuti program dan bekerjasama dengan Tim Caritas Paroki St Paul Dontozidon ke Kg Sugud dan Kg Maang untuk misi bantuan secara sukarela bagi membersihkan kawasan rumah akibat banjir lumpur teruk yang lalu.
Dua tahun kita ditimpa pandemik, melihat ramai yang terjejas akibat impak wabak koronavirus, Fr Paul berkata ini adalah ujian bagi kita semua dan mengajak kita merenung sejauh mana ia mempunyai kesan mendalam terhadap iman mereka kepada Tuhan Yesus.
Sempena Hari Belia Sedunia ini, marilah kita tetap hidup untuk menginspirasikan dan bersaksi bagi Yesus dengan mewartakan kasih.