Oleh Stella
KUALA PENYU – Pada 21 Mei 2024, buat julung kalinya, Komisi Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan (KKACT) Paroki St Peter Bundu, Kuala Penyu telah mengadakan Misa Kudus Senja bersama Alam sempena Minggu Laudato Si’ di Pantai Sunset Villa, Batu Linting yang disempurnakan oleh Fr Roney Mailap.
Sebelum Misa dijalankan pada petang itu, Fr Roney menerangkan serba sedikit tentang penciptaan bumi dan bagaimana manusia menjadi pengelola alam yang sudah diciptakan berdasarkan kitab Kejadian. Manusia dan alam saling berkait antara satu sama lain, jika alam diganggu maka, kehidupan manusia turut terganggu. Oleh itu, Minggu Ekologi yang diadakan adalah untuk memberikan kesedaran kepada manusia betapa pentingnya alam.
Fr Roney dalam homili beliau berdasarkan pembacaan Injil hari itu, menyatakan orang yang mempunyai talenta yang besar, harus memposisikan dirinya sebagai pelayan dan bukan mencari keagungan dan kepentingan diri sendiri. Dalam konteks ekologi, manusia harus belajar daripada alam kerana dalam sejarah penciptaan, alam lebih tua daripada manusia dan spiritualiti alam itu sangat benar. Manusia dicipta untuk menjadi pengelola kepada alam yang merupakan sumber makanan dan perlindungan kepada manusia.
Aktiviti manusia yang berlebihan telah merosakkan hubungan manusia dengan alam. Oleh itu, acara simbolik dalam Misa ini adalah penyiraman batu sebagai tanda mohon keampunan dan perdamaian manusia dengan alam yang dimulakan oleh Fr Roney dan seterusnya semua umat yang hadir.
Sebelum doa penutup Misa pada petang itu, diadakan pemberkatan haiwan-haiwan peliharaan dan anak-anak pokok yang dibawa oleh umat.
Fellowship petang itu dimulakan oleh Pengerusi Komisi KKACT Keuskupan Keningau, Lissa Johannes di mana dia menerangkan bahawa pada tahun 2015, Pope Francis sudah menulis surat kepada umat di dunia untuk menjaga alam ciptaan Tuhan. Bulan Mei merupakan minggu Laudato Si’. Setiap hari selama seminggu itu, terdapat tema-tema untuk mengurangkan penggunaan tenaga berlebihan yang telah memberikan kesan buruk kepada alam. Salah satu contoh yang Lissa berikan pada hari itu adalah tentang makanan iaitu, dengan mengurangkan pengambilan daging dan melebihkan pengambilan makanan berasaskan tumbuhan.
Pengerusi KKACT juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir serta berharap agar umat mengambil tanggungjawab bersama untuk memelihara bumi sebagai rumah kita bersama.