Didiroy Joneh, Pengerusi Komisi Komunikasi Sosial Keuskupan Keningau
Oleh Didiroy Joneh
Julai 25 2020
KENINGAU – Komisi Komunikasi Sosial (Komsos), Keuskupan Keningau bakal mewujudkan radio online pertama di keuskupan ini berkonsepkan audio dan visual.
Didiroy Joneh, Pengerusi Komisi Komsos berkata idea ini tercetus dengan sendirinya apabila melihat keterbatasan komunikasi dan penyampaian maklumat serta sumber berita yang benar.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada Mac lalu, umat di seluruh keuskupan tidak dapat menghadiri Misa Kudus justeru maklumat gereja seperti risalah dan lain-lain juga dihentikan. Keuskupan hanya dapat menggunakan medium seperti Facebook keuskupan dan aplikasi lain sahaja sebagai saluran penyampaian maklumat gereja.
Didiroy berkata, “Berfikir tentang sistem penyampaian maklumat yang lebih moden dan kreatif, saya mengambil keputusan membawa idea ini kepada Uskup Datuk Cornelius Piong untuk direalisasikan.
“Syukur puji Tuhan, Uskup turut menyokong dan memberi kerjasama penuh dalam memastikan radio online ini terlaksana.
“Uskup Cornelius telah menamakan radio online ini “Kekitaanfm”, jika dilihat melalui nama ini ianya agak evergreen namun perkataan kekitaan ini sebenarnya sangat dekat dengan umat di Keuskupan Keningau sejak dahulu lagi.
“Idea nama ini diambil daripada slogan lambang Keuskupan Keningau sendiri iaitu Kebahagiaan Adalah Kekitaan,” ujar Didiroy.
Antara objektif radio online ini adalah menjadi satu medium utama penyampaian maklumat khususnya umat di keuskupan keningau kerana ianya boleh dicapai di manapun.
Radio ini akan dilancarkan pada awal bulan Oktober tahun ini dan akan disiarkan pada hari Isnin sehingga Sabtu bermula jam 7.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Selain mendengar lagu-lagu rohani, pengisian utama radio ini kelak adalah mendengar firman Tuhan dan renungan harian setiap pagi. Mendengar berita khususnya daripada keuskupan Keningau dan luar Keningau melalui medium berita yang dipercayai. Ia juga memberi ruang untuk interaksi sambil menyalurkan maklumat dan aktiviti gereja secara langsung setiap hari.
Konsep jadual radio online ini sama seperti radio-radio komersil luar namun ia memberi fokus utama kepada kerohanian dan evangelisasi. Seramai 10 orang penyampai radio sudah bersetuju untuk bekerjasama dan dipakai Tuhan dalam misi ini.
Setiap penyampai radio akan bertugas mengikut jadual penggiliran dan mempunyai segmen masing-masing seperti bual bicara bersama panel jemputan, segmen motivasi pagi, segmen bersama belia dan komiti dan banyak lagi.
Uniknya radio ini tidak hanya terhad kepada penggunaan bahasa melayu baku sahaja, tetapi komisi telah memutuskan agar penyampai radio online ini bebas menggunakan ‘bahasa sabah’ dan mempunyai penyampai dalam bahasa Dusun dan Murut.
Menurut Didiroy lagi, “Untuk mengukuhkan penginjilan dan maklumat yang benar, kami akan bekerjasama dengan Team Pastoral Keuskupan Keningau, para paderi serta MPP Katedral St Francis Xavier.
“Kami juga akan bekerjasama dengan penyampai dari pelbagai radio tempatan yang membantu dalam aspek etika dan cara penyampaian radio yang lebih profesional.
“Turut membantu menjayakan adalah Rey Kimara daripada “Vokfm sabah” dalam aspek penggunaan sistem dan peralatan serta memberi motivasi dan cara penyampaian yang lebih berkesan.
“Platform radio online ini kelak adalah melalui Facebook Kekitaanfm dan Aplikasi Android Apps yang sedang dalam pembikinan pada masa ini.
“Pastinya dengan terwujudnya radio online ini akan memberi wajah baru sistem penyampaian maklumat yang lebih berkesan dan mantap,” kata Didiroy.