Lebih 1500 belia daripada 12 Zon di bawah naungan Paroki KSFX yang menyertai Rekoleksi Pewarta
Oleh Melty
Jan 4 2024
KENINGAU – Pada 2 Dis 2023 yang lalu, seramai lebih 1500 belia daripada 12 Zon di bawah naungan Paroki KSFX telah berhimpun di Dewan Solidariti, Dataran Keuskupan Keningau bagi menyertai Rekoleksi Pewarta Peringkat Paroki KSFX bagi tahun 2023.
Objektif rekoleksi ini adalah agar pewarta lebih bersedia mewartakan khabar gembira pada sesama terutama pada musim adven. Selain itu, rekoleksi ini juga bertujuan agar para pewarta didorong untuk lebih mahu berjalan bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus.
Rekoleksi ini dimulakan dengan pendaftaran seawal jam 7.00 pagi disertai dengan sesi ice breaking dan taklimat singkat serta lagu puji-pujian oleh KBK Zon Toboh Laut dan KBK Zon Biah.
Dalam sesi pertama iaitu “Masa Adven menurut Gereja Katolik” yang disampaikan oleh Msgr Gilbert Lasius, mengingatkan para belia bahawa tujuan utama karoling itu adalah untuk mewartakan dan berkongsi khabar gembira untuk mempersiapkan umat secara rohani dalam menantikan kedatangan kelahiran Tuhan Yesus bukan sahaja dalam perayaan misa kudus tetapi juga di dalam keluarga, komuniti dan setiap peribadi kita.
Sesi kedua yang disampaikan oleh Fabian Wong yang membawa tajuk “Pelayanan Pewarta sebagai sebuah Panggilan” membawa para belia agar dapat merenung dan memperbaiki diri supaya layak untuk menghidupi pelayanan panggilan. Dalam rekoleksi ini juga, para belia didedahkan dengan teknik dan asas nyanyian dalam sebuah koir serta mempratikkan suara harmoni melalui bengkel koir yang disampaikan oleh Darrel Reitz.
Misa Kudus Perutusan diadakan pada jam 4.00 petang yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong dan dibantu oleh Diakon Nakudah Kilin. Uskup dalam homilinya, menyatakan kesykurannya kerana melalui rekoleksi ini para pewarta dapat berkumpul dan dibantu untuk memahami erti sebenar tujuan pewartaan tentang kedatangan Yesus melalui karoling. “Kita harus melakukan pelayanan ini dengan sungguh-sungguh kerana inilah misi kita, kita dipanggil dan diutus oleh Tuhan untuk menjadi pewartanya melalui karoling ini,” katanya.
Pesan uskup lagi, peranan sebagai pewarta adalah untuk mengingatkan umat di musim adven ini agar tidak mudah tertarik dengan hal-hal duniawi sehingga kita lupa akan matlamat syurgawi dan tujuan hidup kita iaitu untuk Tuhan. “Kita ambil masa untuk merenung bagaimana melalui pelayanan ini dapat membawa Yesus dikenali, dikasihi dan dilayani,” kata Uskup Cornelius lagi.
Menariknya pada kali ini, Carols By Candlelight kini kembali lagi setelah diadakan kali terakhir pada tahun 2018. Dengan membawa tema “Menyambut Kristus dalam Pengharapan”, para pewarta mewakili 13 Zon telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Koir Lagu-Lagu Krismas ini. Sebelum persembahan nyanyian daripada setiap zon, gimik pembukaan Carols by Candlelight diadakan melalui perarakan cahaya lilin oleh KBK KSFX yang turut disertai oleh setiap pengerusi KBK Zon dan seterusnya nyanyian lagu pembukaan khas yang dibawakan oleh KBK KSFX.
KBK Zon Toboh Laut telah dinobatkan sebagai juara Carols by Candlelight bagi tahun 2023, diikuti tempat kedua oleh KBK KSFX dan tempat ketiga oleh KBK Zon Apin-Apin. Pada kali ini juga, anugerah khas telah diberikan kepada tiga kategori di mana KBK Zon Toboh Laut mendapat anugerah Susunan Lagu Terbaik, KBK Zon Liau mendapat anugerah Peralatan Muzik Unik, dan anugerah Lirik Terbaik oleh Harry Adea mewakili KBK KSFX .