Perbincangan dalam kumpulan, Fr Saimon bersama turut serta dalam perbincangan

Oleh Venitha Lojuti

Nov 30 2021

DONTOZIDON – Sebagai kesinambungan kepada Proses Sinode oleh ahli Majlis Paroki St Paul Dontozidon Oktober lalu, Kumpulan Liga Wanita St Paul Dontozidon telah mengadakan Proses Sinode untuk ahli-ahlinya baru-baru ini pada 20 Nov pada jam 8.30 pagi bertempat di dewan terbuka Gereja.

Seramai 25 ahli Liga Wanita telah menghadiri perjumpaan ini dari gereja St Paul sendiri, Gereja Our Lady Queen of Peace Kobusak dan Gereja St John The Baptist Kopungit.

Proses Sinode dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab oleh Fr Saimon William sebagai persiapan rohani sebelum perbincangan dibuat, diikuti dengan Doa Pembukaan, Adsumus Sancte Spiritus supaya campur tangan Roh Kudus dapat berserta dengan semua ahli yang hadir pada perjumpaan tersebut.

Fr Saimon menerangkan maksud dan tujuan sebenar proses Sinod di dalam homilinya dan menerangkan maksud “Sinodaliti” seperti kehendak Bapa Suci Fransiskus, supaya perasaan, pendapat dan kehendak umat dapat didengari dengan sepenuh hati. Semua pendapat para umat ini akan direkod dan dikumpul, dan kemudiannya akan dibawa ke peringkat Vatikan.

Bercakap tentang maksud ‘umat’, Fr. Saimon berkata umat merangkumi semua termasuk umat yang aktif, yang pasif dan juga umat yang telah lama meninggalkan gereja. Semua pendapat, perasaan dan kehendak umat perlu didengari dan tiada satu pun pendapat adalah salah. Kesemuanya akan didengari dan dinilai sesuai dengan tema “Sinode Gereja: Persekutuan, Penyertaan dan Misi.

Ahli Liga Wanita Paroki St Paul Dontozidon bersama Fr Saimon William

Dalam perjumpaan ini, ahli dibahagikan kepada tiga kumpulan untuk mendapatkan pendapat mereka melalui perkongsian ke atas topik yang disediakan. Semua kumpulan diberi satu jam untuk menyampaikan perkongsian mereka dan seterusnya dibentangkan oleh wakil-wakil kumpulan.

Sebelum mengakhiri Proses ini, Fr Saimon sekali lagi memetik Injil secara rawak dan dari kuasa Tuhan petikan Injil Matius 19:16-26 telah dibuka dan dibaca.

“Aku berkata kepadamu, sesungguhnya sukar sekali bagi seorang kaya untuk masuk ke dalam Kerajaan Sorga. Sekali lagi Aku berkata kepadamu, lebih mudah seekor unta masuk melalui lubang jarum daripada seorang kaya masuk ke dalam Kerajaan Tuhan.” Ketika murid-murid mendengar itu, sangat gemparlah mereka dan berkata: “Jika demikian, siapakah yang dapat diselamatkan?” Yesus memandang mereka dan berkata: “Bagi manusia hari ini  tidak mungkin, tetapi bagi Tuhan segala sesuatu mungkin.”

Perjumpaan berakhir pada jam 1.00 tengahari dengan makan tengahari, bergambar bersama dan doa penutup.