Calon-calon menerima urapan Minyak Krisma daripada Uskup Agung di paroki Dontozidon pada 22 Nov
Oleh Nelson Fernandez
Nov 30 2021
DONTOZIDON – Seramai 68 calon menerima pengurapan Minyak Krisma dalam Sakramen Penguatan dari Paroki St Paul Dontozidon, Gereja Our Lady Queen Of Peace, Kobusak dan St John The Baptist Kopungit pada 22 Nov yang lalu di Gereja Paroki St Paul Dontozidon.
Misa dirayakan oleh Uskup Agung John Wong dan dibantu oleh Rektor Paroki Fr Paul Lo dan pembantu Rektor Fr Russell Lawrine bermula pada jam 7.00 petang. Ibu bapa calon dan umat yang lain datang menyaksikan upacara di dalam keadaan pandemik dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaaan dengan kapasiti tempat duduk yang terhad.
Di dalam homily, Uskup Agung berkata seseorang itu telah menerima Roh Kudus sejak dia menerima Sakramen Pembaptisan. Seseorang itu telah dicurahi dengan Roh Kudus yang sentiasa memimpin, mendorong dan juga menguduskan supaya iman seseorang akan menjadi matang setiap tahun sampai saat ini agar mereka bersedia untuk menjadi saksi Tuhan.
Uskup Agung menyambung bahawa terdapat tiga perkara yang menjadi musuh setiap insan iaitu diri sendiri, dunia dan iblis yang dia ingatkan kepada para calon dan juga kepada para ibu bapa, penanggung dan umat. Para calon difahamkan bagaimana ketiga-tiga musuh ini menjadi pencabar utama dalam setiap peribadi kita.
Penerima Krisma bergambar bersama dengan Uskup Agung John Wong, Fr Paul Lo dan Fr Russell Lawrine
Uskup Agung berkata, “Dalam diri sendiri, kita tidak mengenali diri kita, ada kelemahan, tiada keyakinan, ingatlah kita dicipta menurut gambarNya, bahawa Tuhan menyayangi kita sampaikan menguduskan anakNya untuk memberi nyawa anakNya demi cintakasih setiap kita semua.”
Mengenai musuh iaitu dunia ini prelatus berkata kita sentiasa mendengar pimpinan suara dunia ini, melainkan kita mendengar dan dipimpin oleh suara Tuhan, dan “jika hari ini kamu mendengar Tuhan ia adalah baik, pasti kamu akan menyampaikan khabar gembira.”
Musuh ketiga, Uskup Agung berkata, “Iblis adalah musuh tidak kelihatan yang mana sentiasa membisik di telinga setiap orang supaya kita sentiasa mendengar bisikan dia. (Supaya kita melakukan) apa yang kita ingin melainkan apa yang Tuhan inginkan.”
Maka Uskup Agung memberitahu khasnya kepada para calon bahawa kita memerlukan dorongan Roh Kudus bagi menguatkan iman kita untuk melawan ketiga-tiga musuh tersebut dalam diri sendiri, dunia ini dan Iblis.
Bapa Uskup berpesan agar setiap calon meminta karunia Roh Kudus agar Ia masuk ke dalam diri kita, memimpin dalam kehidupan dan menjadi saksi Tuhan.
Di akhir Misa Kudus, para penerima Krisma telah menerima cenderahati barang-barang kudus yang disampaikan oleh Bapa Uskup dan Rektor Paroki.
Semua penerima Krisma terus mendapatkan makanan yang disediakan dalam pek dan fellowship bersama dengan Bapa Uskup Agung dan para paderi, ahli-ahli Majlis Pastoral Paroki dan para pembimbing di Dewan Paroki. Turut diraikan pada hari itu adalah Ulang Tahun Pentahbisan Fr Russell Lawrine yang ke 3.