Fr Wilson Francis, 31, ditahbis menjadi paderi di St Pius X Bundu Tuhan pada 25 Okt
Oleh Linda Edward
26 Okt 2021
BUNDU TUHAN – Keinginan Wilson Francis untuk ditahbis menjadi paderi kini menjadi kenyataan. Walaupun sudah dua kali pentahbisannya ditunda akibat pandemik, namun rahmat Tuhan sentiasa menyertai sehingga dia ditahbis oleh Uskup Agung John Wong di Paroki St Pius X, Bundu Tuhan pada 25 Okt.
Misa Kudus Pentahbisan dijalankan dalam suasana sederhana dengan pelaksanaan SOP kesihatan yang ketat namun Fr Wilson, 31, berkata baginya ini bukan satu kekurangan kerana “nadi perayaan ini adalah upacara pentahbisan itu sendiri.”
Ditanya mengenai perasaannya pada hari istimewa ini, dia berkata “Saya tidak gementar kerana saya sudah bersedia melayani sepenuhnya sebagai paderi untuk Tuhan, lagi pun panggilan ini adalah anugerah dari Tuhan.”
Fr Wilson mencurahkan segala rasa syukurnya, “Saya berterima kasih kepada Tuhan atas bimbingan dan cintakasihNya.
“Dia memberi saya ujian-ujian yang sukar, namun Dia juga memberi saya keberanian untuk mengatasinya.
“Dia memberi saya keraguan dan cubaan, namun Dia juga memberi saya keazaman untuk keluar daripada limitasi ini.”
Kepada mereka yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan panggilannya, Fr Wilson berterima kasih, “Setiap titis air di lautan yang luas itu diambil kira, saya tidak akan lupakan kamu yang telah membantu saya belayar melalui air yang bergelora, sesungguhnya kamu diutus Tuhan untuk membantu saya.”
Apabila Uskup Agung John mengumumkan St Pius X Bundu Tuhan sebagai paroki untuk upacara pentahbisan, paderi paroki Fr Michael Modoit dan pembantu Fr Tony Mojiwat bersama religius sisters FSIC dan komuniti di sana bertungkus lumus bekerjasama menjadikan perayaan ini sebagai satu hari yang diingati dan bermakna buat Fr Wilson.
Bilangan kehadiran pada hari bersejarah ini adalah kurang daripada 200 orang umat termasuk Uskup Julius Gitom dan paderi-paderinya dari Diosis Sandakan, paderi-paderi dari Diosis Agung KK dan Diosis Keningau, para religius, wakil paroki St Simon Likas di mana Wilson menjalankan pastoralnya selama 21 bulan, serta komuniti Bundu Tuhan sendiri. Turut hadir adalah Datuk Dr Jaina Sintian.
Semasa Litani Para Kudus
Bundu Tuhan komuniti subur untuk panggilan Tuhan
Uskup Agung John membuat keputusan untuk menjalankan pentahbisan Wilson Francis sejajar dengan kemasukan negeri Sabah dalam fasa ketiga dalam Pelan Pemulihan Negara.
Pada pagi itu dia berkata, “Paroki Bundu Tuhan adalah satu komuniti yang subur untuk mendapat panggilan Tuhan.
“Paroki ini sudah menghasilkan beberapa orang paderi dan sisters, bahkan seorang uskup!” kata Uskup Agung merujuk kepada pentahbisan Fr Julius Gitom (kini Uskup) menjadi paderi di paroki ini pada 19 Nov 1989.
Kepada pemimpin, wakil paroki dan masyarakat kampung di sini, Uskup Agung berkata, “Kamu pasti bangga melihat seorang lagi anak watan kamu menjadi paderi,” dan menyeru mereka agar terus membantu Fr Wilson dalam perjalanannya.
Dia juga mengaitkan perkara ini sebagai hasil usaha para misionaris yang bertapak di Bundu Tuhan puluhan tahun yang lalu, seperti mendiang Brother Ben, “Kalaulah Brother Ben masih hidup, saya percaya dia juga pasti akan tersenyum lebar,” katanya.
Fr Wilson Francis dan ahli keluarganya bersama Uskup Agung John Wong
Uskup Agung kemudian mengumumkan bahawa Fr Wilson akan terus melayani di paroki St Simon Likas bersama Fr Cosmas Lee.
Wilson melayani dengan murah hati – Fr Cosmas Lee
“Di Paroki St Simon Likas, kami telah diberi tanggungjawab dan hak istimewa untuk membimbing Wilson menuju kehidupan imamat dan “pendalaman pastoral” sejak 19 Jan 2020. Pendalaman pastoral itu sepatutnya berlangsung selama empat bulan, tetapi pandemik telah memanjangkannya menjadi 21 bulan!
“Saya tidak mengenal sesiapa pun di antara pemimpin dan umat paroki yang tidak menyukai Wilson. Mereka melihat dia sebagai seorang yang telah melayani dengan murah hati dengan kasih dan pengorbanan Kristus mahupun dalam pelayanan kecil atau besar. Dia selalu hadir apa pun, bila pun dan di mana pun.
Fr Wilson Francis merayakan Misa bersama Uskup Agung. Fr Cosmas Lee, ketiga dari kiri.
“Saya sebelumnya telah tinggal sendiri selama lebih dari 10 tahun di paroki ini, Ketika pandemik, saya tidak tahu betapa Tuhan sangat mengasihi saya sampai Dia mengutus Wilson untuk menemani dan membantu saya melalui pandemik ini dalam doa, merayakan sakramen, merenung dan berbincang tentang situasi pastoral, belajar IT, berkongsi tugas yang tidak berkesudahan dan tugas domestik, senaman berjalan kaki dan menawan Gunung Kinabalu bersama-sama.
“Pada usia lanjut, saya tertanya-tanya bagaimana saya boleh bertahan tanpa kehadirannya.
“Ramai yang menganggap saya bersikap keras dan melarang, bukan salah mereka, tetapi Wilson nampaknya tidak takut kepada saya.
“Doa tulus saya adalah agar dia tetap terbuka untuk teguran dan bimbingan, agar dia terus belajar dan bertumbuh, lebih-lebih lagi sekarang dia adalah seorang paderi yang sudah ditahbis,” kata Fr Cosmas Lee.