SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA KE-57 TAHUN,16 SEPTEMBER 2020
Hari Malaysia merupakan Hari Kebangsaan negara kita tercinta ini yang kita sambut pada 16 September setiap tahun dan tahun ini kita merayakan Hari Malaysia yang ke 57 tahun.
Dalam merayakan Hari Malaysia ada beberapa perkara yang perlu kita syukuri. Antara lain, pertama, kita bersyukur kepada Tuhan kerana Dia memberi kita tempat kediaman, Tanah Air yang indah ini yang mana kita dapat hidup dengan aman dan harmoni bersama dengan masyarakat majmuk dari pelbagai kaum, keturuan, bangsa dan kepercayaan, walaupun kita sedar masih banyak ruang yang boleh dipertingkatkan lagi dari segi toleransi kaum dan agama.
Kedua, Kita juga bersyukur kepada Tuhan kerana dengan perlindungan dan kuasa Roh Kudus-Nya kita masih dapat menikmati kehidupan yang aman dan selamat walaupun seluruh dunia diancam oleh wabak Covid-19. Kita bersyukur kerana keadaan kita di Malaysia masih terkawal kerana sikap rakyat yang patuh kepada nasihat untuk mematuhi SOP usaha bagi membendung penularan wabak covid-19 ini.
Setiap kali kita merayakan Hari Malaysia kita perlu mengingati kembali semangat dan wawasan yang ditunjukkan oleh para pemimpin yang telah mewujudkan Negara Malaysia, gabungan tiga Negara –Malaya, Sarawak dan Sabah. Janji-janji yang dipersetujui bersama ketika membentuk Malaysia pada 16 September 1963 perlu diingatkan kembali kepada para peneraju kepimpinan negara masa kini, seluruh rakyat dan khususnya para belia kita generasi muda bakal pemimpin negara, agar syarat-syarat perjanjian tersebut tetap dihormati dan dilaksanakan, agar syarat-syarat pembentukan Malaysia tidak lupus ditelan zaman.
Tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini “Malaysia Prihatin”. Tema yang sangat bagus jika benar-benar dapat diterapkan dalam nilai kehidupan setiap rakyat. Semoga kita rakyat Malaysia sama-sama berusaha menghayatinya tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Melahirkan masyarakat yang prihatin atau ambil peduli adalah amat penting agar kita rakyat Malaysia sentiasa hidup dalam keadaan aman harmoni dan selamat serta dilindungi dari bencana dan malapetaka.
Bagi menterjamahkan sikap dan budaya prihatin atau ambil peduli sentiasa menguasai hidup kita rakyat Malaysia, perlulah:
1). Kita hidup berTuhankan Allah Pencipta manusia, bukan bertuhankan kepada allah ciptaan manusia supaya kebenaran tidak akan dikompromikan.
2). Sentiasa prihatin kepada keadaan dan keperluan sesama kita manusia, tidak kira fahaman politik, keturunan dan anutan agamanya.
3). Sentiasa prihatin dengan keadaan dunia, tempat tinggal kita bersama, yang sedang mengalami banyak kerosakan dan penyakit kerana budaya dan sikap tidak bertanggungjawab oleh manusia. Manusia sendiri yang mengakibatkan pemanasan global, pencemaran udara dan air yang berleluasa.
4). Mengubah sikap semua perbuatan-perbuatan mementingkan diri sendiri dan tidak peduli apa akibatnya bagi masa depan anak-anak kita.
Tidak ada gunanya kita berteriak melaungkan Merdeka dan mengibarkan Bendera Jalur Gemilang jika semuanya itu bersifat luaran atau sedalam kulit sahaja. Keprihatinan hanya akan ada pada seseorang dan pada rakyat jika iman kepada Allah Pencipta ada, sifat perikemanusiaan ada serta cinta kasih kepada alam Ciptaan Tuhan ada pada kita.