Surat Pastoral
Rev. Fathers, Religius Brothers dan Sisters, Seminarians, Komuniti ISKB, Katekis, Pengerusi dan ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komiti Komuniti dan Saudara Saudari yang saya kasihi dalam Kristus
Mari Menempuh Hidup Ini Dengan Ketenangan Yesus Walaupun COVID-19 Mengancam Kita
Saudara saudari, kita bersyukur kerana Yesus Tuhan kita adalah Tuhan yang bersifat menyertai, ambil peduli dan sentiasa menjemput kita Umat-Nya, supaya datang dan percaya kepada-Nya, lebih-lebih dalam keadaan hidup yang mencemaskan.
Dalam Injil hari ini Yesus menjemput kita umat, “Datanglah kepada-Ku kamu semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepada mu” (Mat. 11:28). Di lain kesempatan Yesus juga ada berkata “setiap orang yang datang kepada-Ku, mendengar kata-kata-Ku dan melakukan kata-kata-Ku, orang itu seperti rumah yang dibangun di atas batu….” ia tidak akan mudah digoncangkan”. (Luk. 6:47-48). Yesus juga memberi jaminan, “Aku tidak akan menolak sesiapapun yang datang kepada-Ku” (Yoh. 6:37).
Sikap datang dan percaya kepada Yesus akan membantu kita mengalami hidup yang bermakna dan tidak diperhambakan oleh kelaparan dan kehausan, terhadap sesuatu yang sementara sahaja, (Yoh. 6:35). Namun saudara saudari, jemputan Yesus perlu kita tanggapi dengan taat mengambil masa datang dan percaya kepada Dia yang hadir melalui Ekaristi, Adorasi, Sabda Tuhan, sesama kita manusia dan alam ciptaan-Nya.
Saudara saudari, secara peribadi, bersama keluarga dan komuniti marilah kita belajar terus mengarahkan pandangan kita kepada Yesus. Dalam apapun keadaan yang kita alami marilah kita setia memilih datang dan percaya kepada-Nya agar ketenangan-Nya sentiasa menguasai hidup kita (Yoh. 14:27).
Beberapa perkara untuk perhatian kita bersama:
- Selamat datang dan selamat melayani di Paroki KSFX Keningau kepada Seminarian Wilfred Lakun. Beliau sudah selasai pembentukan Seminari di St. Peter’s College, Kuching dan kini dalam masa penantian ditahbiskan menjadi Diakon. Kita doakan.
- Pasangan-pasangan yang merancang untuk kahwin dalam Gereja bolehlah datang mendaftar di Pejabat Paroki masing-masing. Sementara itu Komiti Pelayanan Keluarga Kristian di Paroki-paroki bolehlah mengatur program supaya seminar-seminar dan Rekoleksi Praperkahwinan dapat diadakan bagi pasangan-pasangan yang hendak berkahwin. SOP haruslah dipatuhi dalam penganjuran Seminar, Retret dan Upacara Perkahwinan Gereja.
- Saudara-saudari calon Baptis, kita akan mengatur persiapan dan penerimaan Sakramen Pembaptisan bagi anda di Zon masing-masing. Komiti Kateketikal Paroki masing-masing akan mengatur jadual Rekoleksi dan penerimaan Sakramen Pembaptisan dalam bulan Julai dan Ogos 2020. SOP haruslah dipatuhi.
- Terima Kasih tidak terhingga kepada Sr. Oi Lin, IJ. Sr. Oi Lin melayani di Keuskupan Keningau selama 24 tahun. Beliau terlibat secara langsung khususnya dalam memulakan pendidikan awal kanak-kanak Pra Sekolah (MADIKA) di beberapa buah kampung di Paroki Keningau dan Sook. Selain terlibat dalam MADIKA, beliau juga terlibat secara langsung dalam memulakan program Liturgi Sabda Kanak-kanak (LSKK). Sr Oi Lin akan kembali kepada Komunitinya di K.Lumpur. Kita ucapkan berbanyak terima kasih kepada Sr. Oi Lin, Beliau banyak menyumbang kepada pembentukan kerohanian awal kanak-kanak kita khusus di Paroki Keningau dan beberapa buah kampung di Paroki Sook dan seluruh Keuskupan khususnya dalam LSKK. Kita bawa dia dalam doa kita untuk kesihatan dan perlindungan.
- Mesyuarat para Paderi Keuskupan Keningau akan diadakan pada 10 – 11 Ogos 2020 bertempat di RRKK Purun. Program adalah seperti biasa. Para Paderi harap maklum.
“Kebahagiaan Adalah Kekitaan”
+Bishop Datuk Cornelius Piong